KUALA NERUS: Hampir 500 kilogram (kg) sampah yang kebanyakannya sisa plastik dan kaca berjaya dikumpul pada program Wira Kesuma Cintai Alam Sekitar di Pantai Seberang Takir di sini, hari ini.
Aktiviti membersihkan pesisir pantai hampir satu kilometer itu disertai lebih 170 pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu dengan kerjasama agensi dan pihak berkuasa tempatan.
Ketua Jabatan Elektrikal dan Elektronik ILP Kuala Terengganu, Mohamad Shamsul Rizal Rozak berkata, program itu juga sempena minggu suai kenal pelajar baharu Sesi 1 2024.
Menurut beliau, turut sama membantu adalah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Klinik Perubatan Ikram.
“Selain itu juga kami mengadakan aktiviti sosial masyarakat membersihkan pantai ini sempena pentadbiran Menteri Sumber Manusia yang baharu, Steven Sim Chee Keong.
“Kami memilih Pantai Seberang Takir kerana lokasinya yang sering menjadi tumpuan pelancong namun sedikit tercemar dengan sampah-sarap ketika musim tengkujuh yang melanda.
“Dianggarkan hampir 500kg sampah telah dikumpulkan di pesisir pantai ini selama lebih dua jam program yang kemudian dikutip lori MBKT untuk dilupuskan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sementara itu Pengarah Yadim Terengganu, Nasrul Hadi Saiadin berkata, pihaknya turut bekerjasama dalam program berkenaan sebagai tanggungjawab sosial agensinya terhadap masyarakat.
Beliau menjelaskan, Yadim Terengganu sentiasa aktif dalam program kemasyarakatan dan dakwah termasuk menyediakan sukarelawan bagi membantu mangsa banjir di Dungun, baru-baru ini.
“Kita telah menggunakan peruntukan hampir RM20,000 untuk menghantar misi bantuan ke Dungun yang paling teruk terjejas melalui Misi Dapur Madani, bantuan kit keperluan dan kerja-kerja pembersihan.
“Selain itu, Yadim turut menyediakan khidmat kaunseling kepada mangsa banjir bagi memastikan emosi dan perasaan mereka stabil susulan kemusnahan harta benda yang dialami,” ujarnya. – UTUSAN










