JOHOR BAHRU: Penduduk di kawasan perumahan diminta untuk tidak menghalang laluan awam sehingga menyukarkan pergerakan jentera pengutip sampah membuat kerja kutipan, khususnya ketika tempoh perayaan Tahun Baharu Cina ini.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment), Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, peringatan itu bertujuan memudahkan operasi dijalankan pihaknya demi keselesaan orang ramai.
“Penduduk di kawasan perumahan juga diingatkan untuk tidak meletak sebarang halangan seperti kenderaan di sepanjang laluan atau berhampiran tong sampah bagi melancarkan operasi perkhidmatan kutipan sisa sepanjang tempoh tersebut.
“Selain itu, kami juga memohon kerjasama orang ramai untuk menguruskan sisa perayaan seperti mercun secara berhemah bagi memastikan keselamatan pekerja yang bertugas di lapangan terjamin,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Norlisam, seramai 4,500 kakitangan SWM Environment akan bertugas sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina ini di kesemua 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Johor.
“Operasi itu akan turut melibatkan sejumlah 580 buah jentera pembersih yang memberikan tumpuan kepada perkhidmatan kutipan merangkumi sisa pukal, sisa kebun dan barangan kitar semula.
“Sehubungan itu, setiap premis kediaman dinasihatkan untuk menempatkan sisa-sisa tersebut di tepi tong sampah beroda atau di rumah sampah berpusat berdasarkan jadual yang ditetapkan,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya turut menggalakkan inisiatif kitar semula sempena Tahun Baru Cina melalui penganjuran siri Kaunter KITARecycle Pandu Lalu yang telah mengumpul lebih 10,000 kilogram barangan kitar semula sejak mula diadakan pada awal Januari lalu di Kluang, Kulai, Iskandar Puteri dan Johor Bahru.











