TAPAH: Operasi memburu tahanan warga asing yang meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor di sini diteruskan dengan pencarian kekal ditumpukan di kawasan berhampiran.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi tidak dihentikan dengan pencarian dalam jarak radius lima kilometer.
“Operasi dijalankan melibatkan hampir 400 anggota pelbagai agensi termasuklah polis, Pasukan Gerakan Am (PGA), unit udara polis dan Unit Anjing Pengesan (K9) termasuk pegawai imigresen.
“Kita jangka mereka ini tidak pergi jauh lebih-lebih waktu malam kerana kerana untuk bergerak agak susah, tambahan pula sudah masuk hari kedua mungkin mereka akan lapar dan keluar.
“Jadi kira harap ada berita baik, operasi digerakkan akan dapat lagi menangkap saki baki yang masih melarikan diri,” katanya dalam sidang akhbar di Depot Imigresen Sementara Bidor di sini semalam.
Seramai 131 orang tahanan meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor di sini kelmarin.
Setakat hari ini, sembilan daripadanya berjaya ditangkap.
Ruslin berkata, semua yang ditahan ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah bagi siasatan lanjut.
Katanya lagi, baki 435 tahanan yang tidak melarikan diri telah dipindahkan ke depot imigresen lain di Depot Bukit Jalil di Kuala Lumpur, Lenggeng di Negeri Sembilan dan Kemayan di Pahang.
“Depot ini akan ditutup sementara hingga selesai siasatan, apabila selesai siasatan dan kita akan hantar syor penambahbaikan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri .
“Saya akan bawa berbincang dengan pihak pengurusan tertinggi apakah hala tuju kita seterusnya sama ada depot ini perlu ditambah baik fasiliti ataupun tindakan-tindakan lain, itu bergantung keputusan oleh kementerian,” katanya. – UTUSAN











