KOTA BHARU: Seorang pesakit angin ahmar yang mengalami masalah obesiti dengan berat badan lebih 200 kilogram terpaksa menggunakan khidmat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk mengangkat dan memindahkannya ke Hospital Pasir Mas, dekat sini hari ini.
Lelaki berusia 38 tahun itu sebelum ini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini dan perlu dipindahkan ke Hospital Pasir Mas untuk memudahkan ahli keluarga menguruskannya.
Timbalan Pegawai APM Kota Bharu, Muhammad Shafei Rosslee berkata, ahli keluarga pesakit memohon bantuan lori APM untuk mengangkut lelaki itu berikutan jarak dari HRPZ II ke Hospital Pasir Mas melebihi 20 kilometer.
Menurutnya, mangsa sebelum ini dirawat di HRPZ II selama lapan hari selepas disahkan menghidap angin ahmar.
“Berdasarkan maklumat, keluarga mangsa sukar untuk berulang alik dari Pasir Mas ke Kota Bharu untuk menguruskan pesakit itu.
“Seramai tujuh anggota APM termasuk seorang pegawai menaiki sebuah lori bergerak ke HRPZ II selepas menerima panggilan kira-kira pukul 2.30 petang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Muhammad Shafei memberitahu, anggota APM memulakan tugas mengangkat lelaki itu ke dalam lori pada pukul 3.15 petang sebelum terus bergerak ke Hospital Pasir Mas.-UTUSAN










