Bersatu perhalusi kaedah sebelum pinda perlembagaan

Bersatu yakin ada cara bertindak, perhalusi kaedah sebelum pinda perlembagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tindakan disiplin termasuk pemecatan ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengkhianati parti sehingga menyebabkan kekosongan kerusi Parlimen masih boleh dilakukan meskipun pindaan perlembagaannya baru dilakukan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr. Afif Bahardin menafikan kenyataan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang menyatakan sebarang pindaan peraturan baharu hanya terpakai untuk perkara baharu dan bukannya membabitkan perbuatan lalu.

“Tak betul. Ada caranya. Kami sudah perhalusi dan akan lakukan (pindaan bagi mengambil tindakan terhadap wakil rakyat Bersatu yang bertindak menyokong parti lawan). Malah, selepas itu pemecatan boleh dilakukan berdasarkan Akta Anti Lompat Parti dan Speaker Dewan Rakyat tiada pilihan (untuk mengisytihar kekosongan kerusi),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, kesemua enam ahli parlimen terlibat kini digantung sebarang jawatan dipegang dalam kepimpinan peringkat Pusat dan bahagian sementara menunggu tindakan seterusnya diambil.

KERATAN laporan Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, tindakan Bersatu mahu meminda perlembagaan parti bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyat yang mengisytiharkan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak terkesan.

Enam wakil rakyat Bersatu berkenaan dikatakan tidak terkesan dengan pindaan yang bakal dilakukan melainkan parti tersebut sebelum ini pernah mempunyai perlembagaan yang memecat ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana melanggar arahan parti termasuk menyokong Perdana Menteri tanpa izin parti.

Afif berkata, kepemimpinan Bersatu akan melakukan segala kaedah dari sudut perundangan dan politik untuk memastikan enam kerusi parlimen itu dapat dikosongkan apabila penyandangnya mengisytihar sokongan kepada Perdana Menteri.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan itu, tindakan tersebut akan dilakukan berdasarkan perkara-perkara termaktub dalam Akta Anti Lompat Parti bagi memastikan penyandangnya dapat diganti.

“Kami akan menggerakkan apa saja cara dan kaedah di dalam lingkup perundangan dan politik bagi memastikan kerusi-kerusi berkenaan dapat dikosongkan seperti yang termaktub dalam akta tersebut bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil di dalam tempoh terdekat,” ujarnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi menjadi anggota Dewan Rakyat yang keenam dari Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Anwar serta merta dalam satu kenyataan pada 24 Januari lalu.

Selain beliau, lima lagi anggota Bersatu membuat tindakan sama sebelumnya iaitu Tanah Merah, Gua Musang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar dan Labuan yang memenanginya menerusi tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×