Tiada perang dingin Muhyiddin, Abdul Hadi

Tiada perang dingin Muhyiddin, Abdul Hadi

ABDUL HADI AWANG dan MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada ‘perang dingin’ yang dikatakan berlaku antara Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Sebaliknya, Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz menegaskan, dakwaan mengenai hubungan keruh mereka tidak benar, malah dua pemimpin utama dalam Perikatan Nasional (PN) itu kekal sepakat dalam gabungan itu.

“Saya ingin beritahu secara rasmi tidak ada langsung perang antara Muhyiddin dan Abdul Hadi. Mereka ini kekal sepakat dalam PN yang mana Pas menentukan dalam Majlis Syura.

“Hubungan mereka sangat baik dan mereka akan menjadi pembangkang lebih baik selepas ini,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, menurut sumber dalam satu portal berita mendedahkan tentang status hubungan antara Muhyiddin dan Abdul Hadi yang dikatakan dingin sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai kelangsungan PN yang digagaskan oleh dua parti itu.

Menurut portal berkenaan, sumber berkata, hubungan dingin itu antara lain, berkait dengan kegagalan Pas menampilkan Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Perdana Menteri, selepas Muhyiddin tidak meneruskan hasrat berundur pada pemilihan parti tahun ini.

Menurut sumber, pusingan U Muhyiddin dilihat sebagai tekad Ahli Parlimen Pagoh itu untuk kekal menerajui PN dan seterusnya dilantik perdana menteri kali kedua jika gabungan itu memenangi PRU16.

Syed Muhammad Imran berkata, terdapat desas-desus sama melibatkan hubungan tidak baik antara Muhyiddin dengan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin sedangkan berita itu juga tidak benar.

Menurut beliau, PN adalah satu parti yang paling dominan untuk orang Melayu dan segala cerita spekulasi sememangnya tidak betul.

“Kesimpulannya PN akan bertambah kuat untuk membela agama dan bangsa khususnya bangsa Melayu di tanah air dan doakan negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri perlu fokus kepada ekonomi negara.

“Cukuplah berbalah antara mana-mana pemimpin politik. Parti PN ini jika ditekan oleh pihak kerajaan, lagi membuatkan parti itu mendapat kepercayaan majoriti dan bukan melayu kerana mereka tahu ini merupakan satu dendam kesumat politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×