KUALA KANGSAR: Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) mempertimbang untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi yang menjadi tempat pembuangan sampah secara haram di sini, jika masalah itu berlarutan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Dr. Sakduddin Zamli mengakui masalah pengurusan sampah berlaku di bandar diraja itu dan sedang melaksanakan pelbagai usaha mengatasi perkara tersebut.
“Ada pihak berkuasa tempatan memasang CCTV dan apabila mengenal pasti, mereka boleh sampai ke rumah mencari orang yang membuang sampah ini.
“Jadi kita mungkin ambil inisiatif yang sama, jika sesuatu kawasan itu tetap dibuang sampah walaupun sudah dibersihkan berkali-kali,” katanya di sini semalam.
Sejak beberapa bulan lalu, penduduk Kuala Kangsar kerap meluahkan rasa tidak puas hati tentang pengurusan sampah di daerah tersebut dan boleh dikatakan hampir setiap hari masalah itu dibangkitkan dalam media sosial. – UTUSAN










