SAUDARA PENGARANG,
POLIGAMI adalah sah di sisi syarak tetapi terus diperkatakan dan sering menjadi perbincangan hangat mengenainya kerana sebahagian rakyat negara ini walaupun yang telah berumah tangga, masih ada yang memilih untuk bernikah di luar negara seperti di Selatan Thai.
Jika dengan berpoligami dapat memenuhi keperluan seorang lelaki, mengapa perlu memilih untuk berkahwin di luar negara?
Matlamat utama sebuah perkahwinan itu sendiri adalah supaya manusia dapat saling menikmati dan memperoleh ketenteraman jasmani dan rohani.
Selain itu, sebuah perkahwinan juga bertujuan agar manusia berkembang biak untuk kesinambungan generasi dan membentuk peradaban. Islam turut menekankan bahawa kelanjutan keturunan dan zuriat yang halal sebagai salah satu matlamat perkahwinan.
Bahkan Islam pada dasarnya membenarkan poligami dengan beberapa syarat.
Poligami bukan hanya untuk dorongan nafsu dan memenuhi keinginan seorang lelaki semata-mata, akan tetapi mereka hendaklah mematuhi dan mengikuti prosedur yang telah ditetapkan serta sentiasa berlaku adil dan tidak menzalimi kewajipan terhadap isteri dan anak anak mereka.
Hal ini menunjukkan bahawa lelaki tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan poligami.
Tambahan pula, poligami hanya boleh dilakukan jika lelaki itu memenuhi syarat-syarat seperti yang telah dinyatakan dalam al-Quran iaitu mampu berlaku adil.
Keadilan itu terbahagi kepada beberapa aspek, termasuk adil terhadap nafkah zahir dan batin, penjagaan hak isteri serta anak, pembahagian masa bersama, seterusnya memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak anak.
Namun, perkara ini sering gagal difahami dengan sempurna oleh masyarakat kita di luar sana seterusnya menjadikan isu poligami dilihat penuh ketidakadilan kepada agama itu sendiri.
Lebih malang lagi apabila keinginan untuk berpoligami yang tinggi, menjadikan kebajikan isteri terabai sehingga ada yang dimadukan ketika hamil malah hingga ke tahap bercerai-berai. – UTUSAN
NASUHA RAZALI
Pelajar jurusan undang-undang










