BERBUAT baik dan memberi kemewahan.
Ini antara taktik digunakan pengantun seksual (sexual groomer) bagi mengumpan mangsa dalam kalangan remaja.
Mangsa yang naif akan berasa gembira dan mula memberi kepercayaan kepada pemangsa seksual tersebut tanpa mengetahui muslihat disebaliknya.
Malah, remaja atau kanakkanak ini merasakan pengantun seksual tersebut sebagai ‘kawan baik’ dan mula menurut kata mereka.
Dengan kepercayaan diberi itu, maka terbuka luaslah jalan untuk pengantun seksual mengeksploitasi mangsa dan
menjerumuskan mereka ke dalam kancah yang tidak bermoral.
Penyelaras Perkhidmatan Pusat Perkhidmatan Wanita (PPW), Salma Farhanah A. Rasid berkata, realiti itulah terjadi dalam kalangan masyarakat
ketika ini.
Ujarnya, modus operandi itu sering digunapakai pengantun seksual dalam memperdaya mangsa yang kebiasaannya berusia antara 13 hingga 16 tahun.
“Kebanyakan kes diterima bermula daripada sebagai seorang kawan yang akhirnya menjebak remaja tersebut ke dalam aktiviti tidak sihatseperti
parti seks.
“Pengantun seksual semakin bijak. Mereka lihat dulu situasi mangsa sebelum memperdaya.
“Misalnya, mereka lihat keadaan keluarga kanak-kanak atau remaja tersebut bukan orang senang. Jadi, mereka kemudiannya akan bertindak untuk
mencukupkan apa yang tidak cukup kepada budak itu.
“Belanja barangan itu dan ini untuk menggembirakan hati mangsa. Ada kes yang diterima, apabila sudah mendapat kepercayaan, mereka ini akan
membawa mangsa ke parti tertutup yang melibatkan seks bebas dan dadah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

PPW banyak mengendalikan kes penderaan seksual wanita dan kanak-kanak. Ia adalah kerjasama pintar antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Women Care Centre (WCC) dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.
WCC dan PPW secara amnya membantu kes berkaitan keganasan rumah tangga, keganasan seksual melibatkan kanak-kanak dan dewasa,
masalah rumah tangga dan masalah perhubungan kekeluargaan.
Bagi kes diterima mangsa dan juga keluarga akan diberikan kaunseling. Kaunseling membantu mangsa mengendalikan emosi dan membawa mereka keluar daripada situasi tersebut.
Dalam masa sama, keluarga akan lebih memahami bagaimana penderaan seksual boleh terjadi dan apakah peranan keluarga dalam menyokong mangsa sebagai ahli keluarga.
“Apabila sesuatu kes datang kepada kami dan pesalah dituduh di mahkamah, kami bantu mangsa follow-up status kes tersebut dengan
Polis Diraja Malaysia (PDRM), Timbalan Pendakwa Raya dan mahkamah.
“Bagi terus menyokong mangsa dan keluarga, WCC menemani mangsa di mahkamah sekiranya mereka perlu hadir memberikan keterangan. Kehadiran kami dapat membantu mangsa merasa lebih yakin,” jelasnya.
Selamatkah anak-anak kita?
PPW merekodkan terdapat penurunan jumlah kes penderaan seksual kanakkanak dengan 84 kes pada tahun lalu berbanding 119 kes pada 2022, namun ia tidak bermakna jenayah itu semakin berkurangan.
Ini berikutan angka direkodkan itu hanya membabitkan Pulau Pinang dan yang dikendalikan oleh WCC dan PPW sahaja.
“Kita perlu sedar bahawa ini hanyalah kes yang meminta pertolongan, jadi bagaimana pula dengan kes yang tidak mendapat pertolongan?
“Persoalannya adakah kanak-kanak kita selamat daripada ancaman pelaku seksual? Atau mereka berada dalam situasi antunan yang
menyebabkan mereka keliru atau tidak pasti sama ada mereka mengalami penderaan seksual atau tidak,” kata Salma.
Tegasnya, kanak-kanak dan remaja semakin berisiko mengalami antunan seksual memandangkan mereka terdedah kepada penggunaan internet dan media sosial.
Antunan seksual bukan sahaja boleh berlaku secara fizikal, malah secara dalam talian dengan meminta mangsa melakukan perbuatan lucah.
“Kanak-kanak mudah mempercayai orang yang baik dengan mereka dan pelaku seksual ini mengambil kesempatan terhadap kenaifan kanakkanak sehingga mereka merasa perlakuan seksual dilakukan itu, adalah biasa.
“Itu yang kadang-kadang ada kes gambar kanakkanak tidak berpakaian dan sebagainya kerana mereka tidak tahu kesan perbuatan berkenaan,” jelasnya.
Justeru katanya, ibu bapa perlu mengawasi anak-anak dengan lebih teliti termasuk mengambil tahu dengan siapa anakanak berkawan.
“Ibu bapa disarankan untuk menjadi kawan kepada anak-anak dan menjadi pendengar mereka agar tiada yang cuba mengambil kesempatan.
“Kerana apabila sudah terjadi kes sebegini kanak-kanak akan mengalami trauma dan kebanyakan mereka cenderung
menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku,” katanya.











