KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat perindustrian kejuruteraan mekanikal, ProEight Sdn Bhd (ProEight) bersetuju membayar pampasan sebanyak RM210,000 kepada bekas timbalan ketua pegawai eksekutifnya (CEO), kelmarin.
Pampasan tersebut termasuklah bayaran ex-gratia kepada Bob Jeffry Ziegler yang mendakwa diberhentikan secara tidak adil pada Julai 2022.
Persetujuan itu dicapai di luar mahkamah dalam proses mediasi antara ProEight dengan bekas kakitangannya, Bob Jeffry Ziegler tanpa sebarang keperluan pengakuan liabiliti dan sebagai penyelesaian penuh yang muktamad.
Malah, kedua-dua pihak itu juga bersetuju untuk tidak mengemukakan sebarang tuntutan berkaitan perkara tersebut pada masa akan datang.
Persetujuan itu kemudian dikemukakan kepada Presiden Mahkamah Perusahaan Andersen Ong Wai Leong, sebelum consent award diberikan kepada Bob Ziegler dalam prosiding tersebut.
Terdahulu, Bob Ziegler mengemukakan tuntutan kepada Mahkamah Perusahaan terhadap ProEight selepas mendakwa ditamatkan perkhidmatan secara tidak adil oleh majikannya dengan tuduhan perbuatan salah laku.
Dalam prosiding tersebut, dia diwakili peguam Mohamed Ashmeer Mohamed Ashrof Raja sementara peguam Wan Norizzati Wan Idris pula mewakili ProEight. – UTUSAN







