UMT buka Pusat Pemprosesan Makanan Inovatif - Utusan Malaysia

UMT buka Pusat Pemprosesan Makanan Inovatif

PESERTA, Nuraziah Abdul Azin (kiri) dan Wan Najiah Wan Saidin menunjukkan produk inovasi yang dihasilkan di Pusat Pemprosesan Makanan Inovatif UMT di Manir, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melakar satu lagi kejayaan dengan pembukaan Pusat Pemprosesan Makanan Inovatif untuk menggalakkan lebih ramai belia daripada keluarga B40 menceburi bidang perniagaan.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, pusat pemprosesan tersebut akan mengeluarkan pelbagai produk inovasi pensyarah yang berkualiti dan dijamin halal.

Menurutnya, jalinan kerjasama dengan komuniti B40 itu menyasarkan 50 peserta dalam tempoh lima tahun pelaksanaannya.

“UMT, dengan kepakaran serta hasil kajian pensyarahnya membantu komuniti melalui program pemindahan ilmu untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka.

“Ia akan membuka peluang pekerjaan baharu kepada komuniti B40 setempat dan merancakkan lagi aktiviti ekonomi dalam bidang penternakan lebah kelulut dan pertanian melon manis Terengganu.

“Secara tidak langsung dapat memberi manfaat yang besar kepada usahawan industri kecil dan sedehana (IKS) terutama dalam penghasilan makanan sejuk beku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Pemprosesan Makanan Inovatif di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT), Manir, di sini, hari ini.

Antara produk inovasi pensyarah UMT yang terdapat di pusat itu ialah seperti lasagna daging, jus melon manis Terengganu dan melon manis Ice Cream yang telah melalui pelbagai kajian agar mendapat khasiatnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pusat itu berupaya memberikan kemudahan dan persediaan kepada usahawan bagi mengembangkan lagi perniagaan melalui jalinan kerjasama melibatkan kepakaran UMT dalam mencipta produk baharu.

“UMT sentiasa berusaha untuk membantu masyarakat melalui pemindahan ilmu dan kepakaran dalam bidang keusahawanan dan pengkomersialan produk inovatif hasil daripada penyelidikan para penyelidik yang kompeten,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×