PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil gagal memainkan peranannya sebagai jurucakap kepada Kerajaan Perpaduan.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, tiada langkah diambil ahli Parlimen Lembah Pantai itu ketika media antarabangsa melaporkan tempoh pemenjaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dikurangkan daripada 12 kepada enam tahun, oleh Lembaga Pengampunan atas kesalahan rasuah.
Sehubungan itu, kata Razali, sikap Fahmi dilihat tidak kompeten akan tugasnya selain tidak teliti terhadap laporan-laporan berita dalam negara amat memalukan, malah memberi kesan buruk terhadap imej negara ini.
“Memalukan! Apa yang dilakukan oleh Menteri Komunikasi sehingga media antarabangsa melaporkan tempoh penjara bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi kesalahan rasuah dikurangkan daripada 12 kepada enam tahun oleh Lembaga Pengampunan?
“Ini menyusuli mesyuarat lembaga tersebut pada Isnin lalu, lapor sumber termasuk pegawai kanan kerajaan kepada Mediacorp. Inilah akibatnya apabila Menteri Komunikasi suka bercakap sebagai jurucakap Kerajaan Perpaduan Madani sehingga boleh dimanipulasi pihak luar.
“Malah sumber maklumat juga tidak diselaras kerana ada satu dua menteri Kabinet dalam kerajaan turut sibuk bercakap soal pengampunan Najib.
“Inilah kegagalan berterusan kerajaan dalam soal kepengurusan komunikasi strategik dan ketidakupayaan Menteri Komunikasi ini sesuatu yang tidak boleh diterima dan asyik menafikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, portal berita melaporkan Fahmi meminta orang ramai tidak membuat kesimpulan sendiri ketika mengulas laporan media Singapura, Channel News Asia (CNA) yang mendakwa hukuman terhadap Najib dikurangkan daripada 12 ke enam tahun.
Sementara itu, Razali berkata, kegagalan berterusan kerajaan dalam soal kepengurusan komunikasi strategik dan ketidakupayaan menteri komunikasi tidak boleh diterima dengan asyik menafikan.
“Tahap kerja yang sangat rendah dan tidak kompeten oleh Menteri Komunikasi memberi kesan songsang terhadap imej, identiti dan reputasi Malaysia selaku negara bermaruah.
“Rakyat selalu terkeliru dengan peranan jurucakap komunikasi kerajaan perpaduan yang sepatutnya dilaksana oleh setiausaha akhbar kepada Perdana Menteri,” katanya. –UTUSAN










