Penduduk cemas, gajah liar masuk kampung, rosakkan tanaman

Penduduk cemas, gajah liar masuk kampung, rosakkan tanaman

MOHD. Safri Salleh menunjukkan sebahagian tanaman sawit yang dimakan dan dirosakkan oleh kawanan gajah liar di Kampung Gemunchor, Lipis, hari ini. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Sepanjang minggu ini, penduduk Kampung Gemunchor, Mela, dekat sini, cemas apabila kawanan gajah liar menceroboh masuk ke kawasan tanaman komersial dan menghampiri rumah mereka.

Kejadian yang sama pernah berlaku pada bulan Februari tahun lalu, apabila kawanan gajah liar yang dianggarkan antara enam hingga 10 ekor menceroboh kebun sawit, pisang dan tanaman komersial mulai pukul 6 petang setiap hari.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Gemunchor, Roslan Idris, 61, berkata, dalam kejadian sepanjang minggu ini gajah liar berkenaan masuk ke kawasan tanaman sawit merosakkan lebih daripada 20 pokok sawit termasuk tanaman pisang dan sayur-sayuran.

“Pada awal minggu lalu, seorang penduduk menyedari kehadiran gajah liar ini menceroboh kebunnya kira-kira pukul 6 petang dengan mematahkan pelepah dan memakan pucuk sawit serta meninggalkan tompokan najis.

“Kawanan gajah liar ini dipercayai datang daripada hutan Ulu Tembeling dua minggu lalu dan bersembunyi di pinggir kampung sehingga penduduk mula takut untuk keluar berbelanja di pekan Mela terutamanya pada waktu malam,” katanya di Kampung Gemunchor, dekat sini hari ini.

Penduduk Kampung Mela, Mohd. Safri Salleh, 42, berkata, sejak kemunculan gajah berkenaan di kawasan kebun di kampung tersebut, dia berasa takut untuk menziarahi saudara-maranya kerana sepanjang laluan masuk ke situ berdekatan ladang sawit dan hutan.

“Kehadiran kawanan gajah liar merayau ke kampung ini mencari makanan termasuk menghampiri kawasan rumah penduduk selepas musim tengkujuh dan difahamkan merupakan kali kedua selepas kejadian pertama pada bulan Februari tahun lalu.

“Petugas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah berada di sini untuk memantau pergerakan gajah liar setelah dimaklumkan oleh pihak JPKK dan saya difahamkan seekor haiwan liar itu sudah ditangkap,” katanya.

Seorang warga emas, Idris Bakar, 64, berkata, dia yang tinggal bersendirian rasa bimbang kerana rumahnya berdekatan tempat gajah liar menceroboh tanaman penduduk.

“Kita berharap petugas Perhilitan dapat menghalau atau menangkap gajah liar berkenaan bagi mengelakkan lebih banyak kawasan tanaman sawit, pisang dan sebagainya musnah,” katanya.

Ujarnya, kehadiran gajah itu pada waktu petang sehingga ke malam juga mengundang kebimbangan penduduk untuk solat berjemaah di masjid kampung itu pada waktu Maghrib, Isya dan Subuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×