HOUSTON: Seorang kanak-kanak berusia setahun bertarung nyawa selepas dia ditembak pada bahagian kepala oleh polis dalam satu kejadian.
Lapor CNN, kejadian itu berlaku pada 3 Mac lalu apabila seorang wanita, Daisha Smalls mengisi minyak kereta ketika dia ternampak kereta polis dan siren dibunyikan.
Anak lelakinya, Legend berada di kerusi belakang sebelum seorang lelaki tiba-tiba memasuki kenderaan mereka dan meminta Smalls menyerahkan keretanya.
“Saya enggan berikan kereta saya kerana anak lelaki saya ada di dalamnya dan saya tidak akan tinggalkan kereta tanpa Legend.
“Kejadian berlaku sangat pantas apabila polis tiba dan melepaskan tembakan ke arah kereta saya dengan satu daripada peluru itu terkena pada kepala Legend,” katanya.
Namun, polis Houston menafikan dakwaan Smalls dan memaklumkan budak lelaki itu tidak berada dalam kereta ketika insiden tembakan berlaku.
Seorang lelaki berusia 30 tahun yang ditahan merupakan suspek dua kes rompakan dan insiden kejar mengejar berlaku ketika polis cuba menangkapnya.
Suspek enggan melepaskan pistol yang dipegangnya menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan.
Sementara itu, Ketua Polis Houston, Art Acevedo memberitahu pihaknya akan menyiasat insiden tersebut dan berharap Legend akan segera pulih.











