KUALA LUMPUR: Mengambil kira prestasi yang merudum, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengambil keputusan membubarkan skuad senior dan remaja lelaki kebangsaan selain kontrak kedua-dua jurulatih juga sudah berakhir.
Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, skuad kebangsaan akan berwajah baharu selepas tamat saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 tetapi jurulatih baharu dijangka diumumkan sebulan lagi.
“Saya sudah berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan, kita memang sudah bubarkan pasukan senior lelaki dan remaja lelaki.
“Maksudnya tiada pasukan hoki kebangsaan buat masa sekarang.
“Kita akan bina semula pasukan kebangsaan yang baharu selepas berakhir saingan liga, kontrak jurulatih senior dan skuad remaja juga sudah tamat kecuali jurulatih skuad wanita, namun ia belum tahu lagi kekal atau tidak.
“Jurulatih baharu skuad senior dan remaja akan diumumkan selepas Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dan Jawatankuasa Kejurulatihan mengadakan mesyuarat dan pemilihan terserah kepada jawatankuasa,” kata Subahan dalam sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan MHC, Datuk Majid Manjit dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Najmi Razak.
Mengulas lanjut, Subahan berkata, jurulatih baharu untuk kedua-dua pasukan akan bertanggungjawab untuk membuat pemilihan pemain dan itu bermakna tempat pemain sedia ada sebelum ini tidak terjamin.
“Tiada jaminan untuk pemain lama dalam pasukan, orang baharu (jurulatih) akan datang dan mereka akan buat pemilihan, dijangka pada Mac selepas MHL 2024 kerana kejohanan pertama ialah Piala Sultan Azlan Shah pada Mei,” katanya.
Dalam pada itu, Majid pada sidang akhbar sama turut memaklumkan bahawa pemilihan jurulatih baharu skuad kebangsaan akan memberi tumpuan kepada jurulatih tempatan berbanding tenaga asing.
Untuk rekod, Speedy Tigers sebelum ini gagal dalam misi untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas terlepas pingat emas di Sukan Asia Hangzhou apabila sekadar menamatkan saingan di tempat keenam. – UTUSAN










