Arsenal kembali ke prestasi sebenar - Arteta - Utusan Malaysia

Arsenal kembali ke prestasi sebenar – Arteta

PENAJAGA gol Arsenal, David Raya cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya ketika diasak jentera serangan Nottingham Forest dalam saingan Liga Perdana Inggeris, semalam. Arsenal menang 2-1. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Arsenal kembali merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool selepas menundukkan Nottingham Forest 2-1, semalam.

Kemenangan semalam turut menyuntik kembali momentum pasukan itu untuk bersaing dengan Reds yang tentunya mahu menjarakkan kedudukan apabila menentang Chelsea.

Dalam aksi di City Ground itu, Gabriel Jesus meledak gol untuk Arsenal pada minit ke-65 sebelum tujuh minit kemudian dia membuka ruang buat Bukayo Saka untuk meledak gol kedua.

Forest cuba bangkit para babak-babak akhir perlawanan dan berjaya mendapat gol saguhati menerusi Taiwo Awoniyi, namun jaringan itu sudah terlambat untuk menidakkan kemenangan Arsenal.

Kemenangan itu juga menyaksikan The Gunners terselamat daripada penamat mendebarkan untuk melonjak ke tangga kedua dan hanya dibezakan dua mata dengan Liverpool.

Anak-anak buah Mikel Arteta kini mengumpul 46 mata selepas 22 perlawanan dan memintas Manchester City yang hanya memungut 43 mata daripada 20 aksi.

“Kami melakukan apa yang sepatutnya kami lakukan. Memperagakan aksi dengan cara kami lakukan tahun lalu dan di awal tahun ini, kerana kami sudah berikan yang terbaik namun hanya tidak menerjemahkan dari segi keputusan.

“Sekarang keputusan perlawanan juga sudah ikut seperti persembahan yang kami pamerkan. Kami mempunyai momentum dan perlu meneruskannya hingga ke akhir musim.

“Kami perlu menjana momentum. Kami perlu bersedia untuk perlawanan yang lebih besar menentang Liverpool selepas ini,” kata Arteta.

Forest yang dibimbing Nuno Espirito Santo, menduduki tangga ke-16 selepas mengumpul 20 mata, dua mata di atas zon penyingkiran. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×