Gaji rendah sebabkan masalah brain drain?

Gaji rendah sebabkan masalah brain drain?

AHLI panel menyertai Forum Tinjauan Ekonomi dan Strategik 2024 di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gaji rendah dan tidak kompetitif boleh menyebabkan Malaysia berdepan masalah brain drain apabila ramai rakyat tempatan yang berkemahiran tinggi berhijrah ke negara lain.

Bagi mengatasi masalah itu, Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Norma Mansor mencadangkan agar negara menangani isu penstrukturan pasaran buruh untuk membolehkan Malaysia beralih daripada buruh berpendapatan rendah kepada pekerja berkemahiran tinggi.

Peralihan itu menurut beliau mampu menarik kemasukan lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara seterusnya membantu meningkatkan pendapatan pekerja tempatan.

Norma berkata, data menunjukkan 80 peratus pekerjaan yang diwujudkan adalah berstatus kemahiran separa dan rendah, bukannya pekerjaan berkemahiran tinggi.

Perkembangan itu menurut beliau turut menyaksikan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) semakin menurun berbanding negara-negara lain di rantau ini.

“Cadangan saya adalah supaya kita melihat isu penstrukturan (pasaran buruh) yang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian. Pertama, produktiviti yang semakin menurun. Kita perlu meningkatkan modal insan yang akan menyumbang kepada produktiviti dan pekerjaan.

“Kita juga perlu mencipta nilai tambah (kemahiran pekerja) yang lebih tinggi kerana ia akan mendorong kepada gaji yang tinggi. (Buat masa ini) gaji di Malaysia secara relatifnya lebih rendah di rantau ini berbanding Vietnam dan Thailand terutama melibatkan jawatan eksekutif atas dan pertengahan,” katanya pada Forum Tinjauan Ekonomi dan Strategik 2024 (GESOF) di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, FDI akan membawa masuk teknologi yang seterusnya membawa bersama pengetahuan dan juga akan membantu Malaysia untuk menyertai rantaian bekalan global.

“Kita lihat Tesla datang ke Malaysia. Ini akan membawa bersama pengetahuan yang akan membina kapasiti iaitu kapasiti tempatan. Inilah yang kita mahukan untuk negara ini,” ujarnya.

Tambahnya, keselamatan sosial juga penting dalam menarik pelabur ke negara ini.

“Jika Malaysia mempunyai sistem yang baik untuk melindungi pekerja mereka, ini akan menyumbang kepada kemasukan pelaburan. Sebagai contoh, perlindungan sosial juga termasuk latihan semula dan jenis aktiviti profesional yang ditawarkan kepada pasaran buruh,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×