JERANTUT: Kira-kira 2,000 penduduk Taman Saujana Putra dan Taman Saujana Utama serta pemilik premis perniagaan berdekatan berharap pihak berwajib segera membaikpulih runtuhan tebing dan laluan mendap di pintu masuk dua kawasan penempatan di situ berdekatan Jalan Temin-Temerloh di sini.
Difahamkan, masalah itu sudah dua tahun berlarutan menyebabkan penduduk berdepan risiko keselamatan kerana laluan keluar masuk ke taman perumahan di situ cuma selorong sekali gus membahayakan kenderaan ketika berselisih.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Badrulhisham Mohamad, 65, berkata, kawasan runtuhan itu adalah laluan utama keluar masuk penduduk ke bandar, tempat kerja, pelajar ke sekolah termasuk penduduk ke Masjid Tengku Mahkota Abdullah serta laluan kenderaan dan pengguna ke premis niaga berdekatan.
“Sejak musim tengkujuh penghujung tahun lalu, keadaan runtuhan semakin luas dan menimbulkan ketidakselesaan penduduk kerana dibimbangi boleh mengundang berlakunya perkara yang tidak diingini.
“Penduduk berharap laluan ini segera dibaikpulih kerana sudah banyak aduan dibuat kepada pihak berwajib namun keadaan masih sama dan runtuhan tanah terus berlaku,” katanya.
Seorang lagi warga emas Taman Saujana Putra, Rosmadi Sulaiman, 60, berkata, runtuhan tebing setinggi kira-kira 20 kaki itu membimbangkan penduduk berhubung aspek keselamatan ketika menggunakan laluan terbabit.
“Ia berlaku akibat hakisan dan aliran air bawah tanah berikutan hujan lebat,” jelas beliau. – UTUSAN










