SELURUH rakyat Pahang tidak sabar menanti hari ini kerana ia detik ditunggu-tunggu kembalinya Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai jantung hati rakyat ke bumi negeri itu.
Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Maran, Datuk Kurnia Bistari Mohamed Arifin Awang Ismail berkata, kepulangan baginda berdua bersemayam kembali sebagai payung kasih tempat bernaung dan berteduh membuatkan rakyat tidak sabar menantikannya.
“Ini kerana rakyat rindukan sentuhan dan santunan kasih tuanku berdua yang diibaratkan sebagai jantung hati rakyat dan ingin menikmati kembali air tangan Tunku Azizah yang begitu dekat di hati rakyat.
“Sesungguhnya Tuanku berdua dan Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Syah serta kerabat diraja Pahang mempunyai jiwa humble yang lahir semula jadi dan luhur,” katanya di sini.
Mohamed Arifin berkata, sentuhan dan santunan serta kasih sayang Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kepada rakyat tidak mengira kedudukan, taraf dan tempat.
Jelasnya, baginda berdua tidak kekok ketika bersama rakyat kerana ia lahir daripada jiwa ‘berlian’ yang melambangkan keperibadian cukup tinggi yang diwarisi turun temurun daripada keluarga Istana Pahang.

Katanya, legasi Raja Berjiwa Rakyat sudah berakar umbi sejak Almarhum Sultan Abdullah, Almarhum Sultan Sir Abu Bakar sehingga Almarhum Sultan Ahmad Shah yang terkenal berjiwa rakyat.
“Lihatlah setia dan kasihnya rakyat Sabah dan Sarawak kepada baginda ketika Kembara Borneo tanpa mengira kaum, siang dan malam, hujan dan ribut serta berlari dan berjalan kaki bukan halangan untuk menggambarkan sambutan rakyat kepada baginda.
“Bagaimana rakyat terharu melihat Tuanku santap cendol di warung dan membeli makanan di gerai-gerai di tepi jalan, mengharungi air banjir tanpa menghirau keselamatan untuk bertemu dan bersama rakyat ketika bencana,” kata anak jati Chenor, Maran itu.
Tambahnya, seperkara lagi kelebihan Al-Sultan Abdullah apabila berjanji untuk berangkat hadir ke sesuatu program atau majlis, baginda menunaikannya.
“Baginda juga tiada protokol membantu rakyat yang kemalangan dan 1,001 macam sentuhan dan kurniaan kasih tuanku kepada rakyat termasuk mengurniakan rumah dilengkapi perabot termasuk Pusat Hemodialisis Al-Sultan Abdullah.
“Perwatakan hebat baginda dalam tempoh lima tahun sebagai ketua negara mendepani badai dan gelombang politik yang tidak pernah dihadapi oleh mana-mana 15 ketua negara sebelum ini yang menyaksikan negara ditadbir oleh empat orang perdana menteri,” katanya.
Jelasnya, kebijaksanaan melerai situasi politik setiap kali gelombang panas tercetus meletakkan institusi beraja terus dihormati dan menjadi faktor kestabilan dan keselamatan negara.
“Bukan mudah memadam api politik kalau baginda bukan seorang raja berdaulat dan dengan karamah baginda yang lembut, berhemah, teliti dan berhati-hati,” tegasnya. – UTUSAN










