Masalah air di pedalaman Baling selesai 2023 - Utusan Malaysia

Masalah air di pedalaman Baling selesai 2023

MOHD. Nasir Idris (kanan) meninjau sebuah telaga tiup yang dibina Jabatan Mineral dan Geosains untuk membantu penduduk mendapatkan bekalan air bersih di Kampung Batu 60, Tanjung Pari, Baling semalam. -UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Masalah gangguan bekalan air yang dihadapi penduduk di kawasan pedalaman daerah ini dijangka selesai apabila projek pembinaan loji rawatan air (LRA) di Sungai Limau, Kupang, di sini siap sepenuhnya pada 2023.

Ahli Dewan Undangan Ne­ge­ri (ADUN) Bayu, Mohd. Nasir Idris berkata, projek pembinaan loji air tersebut akan dimulakan dengan segera selepas urusan berkaitan tender selesai.

Menurutnya, projek itu terhenti sejak 2017 berikutan beberapa masalah yang perlu diselesaikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bekalan air dari loji air tersebut dijangka dapat membekalkan air secukupnya kepada penduduk di kawasan hujung daerah ini seperti Tanjung Pari, Bukit Iboi, Kampung Batu 7 dan kampung-kampung lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Tanjung Pari di sini semalam.

Utusan Malaysia pada 15 Mac lalu melaporkan dianggarkan 15,000 penduduk me­li­batkan kira-kira 20 kampung di daerah ini tidak mendapat bekalan air air bersih sejak 10 tahun lalu, sehinggakan terpaksa bergantung kepada sumber seperti air bukit, su­ngai dan pe­rigi untuk kegunaan harian.

Kehidupan penduduk di pedalaman itu jauh ketinggalan apabila masih lagi tidak mendapat bekalan air bersih yang sempurna.

Selain dikatakan berdepan masalah tekanan air yang rendah di beberapa tempat, penduduk juga mendakwa mereka tidak mampu membiayai kos pemasangan paip air yang tinggi.

Bagaimanapun Mohd. Nasir tidak memaklumkan peruntukan membina loji air tersebut.

Dalam pada itu beliau berkata, langkah penyelesaian jangka pendek juga perlu dilakukan oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) bagi me­ringankan beban penduduk di kawasan terlibat.

Sehubungan itu pihaknya mencadangkan SADA membina telaga tiup di beberapa tempat yang sesuai untuk mendapatkan bekalan air bersih bagi disalurkan kepada penduduk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini