Pemaju optimis pembelian hartanah meningkat tahun ini

Pemaju optimis pembelian hartanah meningkat tahun ini

AHMAD SOALAHUDDIN AL-THANI AHMAD TERMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar 3.0 peratus menandakan situasi semasa ekonomi Malaysia yang semakin pulih seperti sebelum Covid-19 dan meningkatkan kuasa beli rakyat.

Sehubungan itu, pemaju hartanah menyuarakan pandangan optimis mengenai masa depan pembelian hartanah di negara ini berdasarkan perkembangan terbabit.

Permintaan terhadap harta­nah dijangka meningkat kerana terdapat kestabilan dalam penentu kadar faedah yang dianggap sebagai faktor utama yang akan memberi keyakinan kepada pembeli hartanah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan M K Land Holdings Berhad (M K Land), Ahmad Soalahuddin Al-Thani Ahmad Termizi berkata, kos pinjaman masih berpatutan dan permintaan untuk pembelian hartanah akan  kembali me­ningkat.

Jelas beliau, secara umumnya, kos pinjaman bagi pembangunan projek menunjukkan sedikit peningkatan, namun masih stabil.

“Secara umumnya, kadar OPR adalah stabil dan hanya meningkatkan sedikit kos pinjaman projek kepada pemaju serta tidak memberi kesan negatif yang ketara,” katanya.

Selain itu, Ahmad Soalahuddin berkata, kadar OPR yang rendah itu dapat meningkatkan penawaran produk untuk memenuhi permintaan yang kekal tinggi dengan kadar pinjaman yang masih menarik.

Katanya, bagi merealisasikan perkara itu, proses reka bentuk, kelulusan dan proses jualan perlu dipercepatkan untuk meningkatkan penawaran.

“Pembinaan juga perlu disegerakan bagi meningkatkan aliran tunai syarikat,” katanya.

Beliau berkata, kos pinjaman yang masih dikira kompetitif mampu meningkatkan pemilikan hartanah oleh rakyat Malaysia.

Menurut beliau, M K Land percaya dengan harga jualan produk yang optimum serta pakej jualan pelbagai akan membuatkan pembeli tertarik untuk membeli hartanah tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, kadar OPR ini masih relevan untuk menarik lebih ramai melabur dalam bidang hartanah.

“Kita boleh tarik ramai pelabur, tetapi cabaran utama adalah keupayaan kewangan pembeli itu sendiri untuk mendapat pinjaman mengikut peratus kelulusan yang diinginkan,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Soalahuddin menambah, pemaju harus mempunyai langkah konkrit untuk menjadikan pembelian hartanah dengan kadar OPR yang rendah itu.

“Pemaju perlu menawarkan harga jualan yang kompetitif, mengawal kos dan meningkatkan volum pembinaan.

“Dalam pada itu itu, pemaju harus memastikan reka bentuk memenuhi kehendak pembeli dengan memasukkan elemen gaya hidup dan mesra alam yang mempercepatkan proses pembinaan serta menawarkan pakej pemasaran digital bersasar dan mudah,” ujarnya.

Beliau berkata, pihak pemaju boleh memilih menawarkan produk ‘high end’ atau mewah di lokasi perdana tertakluk kepada demografi bakal pembeli dengan kos pinjaman.

Sementara itu, beliau berkata, M K Land merancang untuk terus menawarkan produk dengan harga yang kompetitif serta nilai tambah, sama ada dari segi pakej jualan dan juga spesifikasi produk di lokasi-lokasi yang strategik.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×