Falsafah yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terkait falsafah menggapai langit dan berakar ke bumi seharusnya menjadi pendorong seluruh rakyat Malaysia melakukan anjakan paradigma dari sudut pemikiran, nilai, tata kelola, adab dan usaha baik bagi melahirkan tamadun bangsa Malaysia yang gah dan dihormati seluruh dunia.
Falsafah ini hadir setelah menilai hasil karangan Harris Lewis (2007) yang berjudul Excellence Without a Soul: Does Liberal Education Have a Future? dan juga penekanan terhadap falsafah anjakan paradigma yang dikemukakan oleh Thomas Kuhn (1962) melalui bukunya yang bertajuk The Structure of Scientific Revolutions.
Falsafah menggapai langit dan berakar ke bumi menekankan tentang perubahan sikap dan penerokaan ilmu baharu yang disebut sebagai “kecelikan” menekankan tentang kecelikan digital dan teknologi pada marcapada yang kian berkembang pesat terkait dengan transformasi digital, transisi tenaga baharu dan yang terkini kecerdasan buatan (AI).
Hal ini perlu diakui semua pihak bagi memastikan teknologi kini dapat seiring dengan pembinaan nilai dan akhlak ummah. Kecanggihan teknologi pada masa kini banyak membantu manusia dalam urusan kehidupan seharian dengan lebih baik ketimbang cara tradisional yang mungkin mengambil masa yang lama dan tidak memberikan dampak positif terhadap hasil kerja.
Umat Islam disarankan agar berusaha untuk meneroka sedalam mungkin ilmu pengetahuan bagi meningkatkan kecekapan dan seterusnya mampu membuat anjakan yang lebih besar kesannya. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah yang bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada siapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada siapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”(Surah Ar-Ra’d).
Namun begitu, pengetahuan yang diperolehi perlu berakar ke bumi dengan berpegang kukuh dengan nilai, adab, akhlak serta adil dalam membuat keputusan. Bagi memperkukuhkan falsafah menggapai langit dan berakar ke bumi ia perlu dipastikan terlebih dahulu sistem urus tadbir negara yang terkait dengan tata kelola yang baik, pembanterasan rasuah dan ketirisan, kepemimpinan yang berkualiti.
Cekap, pengurusan yang adil dan amanah, kesatuan fikrah dan pembinaan adab luhur serta penguatkuasaan undang-undang yang perlu direformasi serta dilaksanakan segera bagi membina falsafah menggapai langit dan berakar ke bumi cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hal ini bertepatan dengan saranan firman Allah yang bermaksud “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.”(Surah Al-Anfal 8: Ayat 60).
Sebagai khulasoh daripada perincian tentang falsafah menggapai langit dan berakar ke bumi memerlukan semua pimpinan dari atas sehinggalah ke bawah menggembleng tenaga dan bersatu hati bagi mendepani tantangan masa depan yang dilihat tidak menentu, kompleks dan dipenuhi dengan fitnah ‘huru-hara disebabkan kerosakan nilai dan adab’ yang dibawa segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab dan lebih mementingkan kepentingan diri berbanding kepentingan awam.
Hal ini tidak hanya ditaklifkan atas bahu Perdana Menteri yang kita cintai tetapi memerlukan sokongan dan dukungan semua pihak bagi menjayakan aspirasi falsafah menggapai langit dan berakar ke bumi cetusan ilham Anwar Ibrahim.
Jika tekad dan ikhtiar untuk menjayakan falsafah murni cetusan beliau dapat dilaksanakan dengan sempurna, maka insan pasti memiliki ‘karomah’ (kemuliaan) sebagaimana firman Allah. “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”(Surah Al-Isra’; 17: Ayat 70).
Falsafah menggapai langit dan berakar ke bumi pasti tercetus fenomena luar biasa dan mampu membawa Malaysia Madani ke arah yang jauh lebih baik ketimbang sebelum ini. – UTUSAN
Dr. Zuraimy Ali ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA cawangan Perlis.










