‘Dua kolam ada perjanjian sah’ - Utusan Malaysia

‘Dua kolam ada perjanjian sah’

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

DALAM dunia politik tanah air, nama NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ sentiasa menjadi topik bualan hangat dek kerana ketegasan dan kelantangannya berkata-kata.

Sebagaimana arwah bapanya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ahli Parlimen Bachok ini sering diburu media memandangkan intipati kenyataan beliau ada nilai berita tersendiri.

Antara paling diingati, harapan Nik Mohamad Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat agar jalinan kerjasama Pas dan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) berterusan sampai ‘kiamat’.

Namun, adakah harapan itu masih sama selepas UMNO menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membentuk Perikatan Nasional (PN) bersama Pas?

Ditemui wartawan Utusan Malaysia, ZAAIN ZIN di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini, Nik Mohamad Abduh menjawab persoalan itu di samping mengulas isu mutakhir lain yang mewarnai kanvas politik negara.

UTUSAN: Perkembangan terkini Yang Berhormat (YB)?
NIK MOHAMAD ABDUH: Apabila Parlimen digantung, maka saya tumpukan kepada kerja-kerja lapangan di kawasan Parlimen Bachok kerana saya wakil rakyat di situ.

Urusan parti pula masih berjalan seperti biasa. Cuma ia dilakukan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Kadang-kadang kami bermesyuarat secara dalam talian dan kadang-kadang saya terpaksa pergi ke Kuala Lumpur. Tetapi kerana Covid-19 dan ordinan darurat ketika ini, saya lebih tertumpu di kawasan Parlimen sendiri.

Perkasa MN, pertahan PN. Adakah kekal atau Pas bakal ada strategi baharu?
Pas telah buat satu polisi jelas dan saya rasa sudah difahami dengan baik iaitu memperkasakan MN dan mempertahankan PN walaupun keadaan politik negara sekarang, baik di pihak pembangkang atau di pihak pemerintah masing-masing ada sedikit retak. Contohnya, hubungan Bersatu dengan UMNO.

Sebagai parti Islam yang mendukung perpaduan, Pas mengambil sikap untuk bertahan dengan polisi menyatukan ummah.

Pertama, kita akan berusaha memastikan MN bukan setakat bertahan, malah diperkasakan lagi walaupun ada masalah disebabkan pandangan berbeza terhadap Bersatu.

Tidak dinafikan Pas pandang Bersatu lain, UMNO pandang Bersatu lain.

Bagi saya, perbezaan pandangan itu adalah ujian untuk melihat setakat mana kepimpinan kedua-dua parti ini duduk berbincang dan cuba menyelesaikan masalah.

Di Kelantan dan Terengganu, UMNO ugut mahu bertanding semua kerusi. Pendapat YB?
Dalam parti, kita hanya melihat keputusan di peringkat atas sebab kita tahu yang di bawah ini walau apa pun dia bercakap, keputusan akhir hanya boleh disahkan pimpinan atasan.

Kita melihat dari sudut demokrasinya, pemimpin negeri boleh bercakap dan kalau ia bertentangan dengan pendirian parti masing-masing, mesti ada teguran. Kalau cakap pemimpin di bawah itu nampak seperti ada yang tidak kena, pemimpin atas akan tegur, begitu juga dengan UMNO.

Suara-suara ini tidak boleh diambil kira kerana bertentangan dengan kehendak asal parti.

Saya fikir setakat ini pimpinan atas Pas dan UMNO masih lagi terus berusaha memastikan pilihan raya akan datang kita dapat buat pembahagian kerusi yang dipersetujui bersama.

Pas tidak kisah dituduh main dua kolam?
Ia berdasar kepada ikatan. Apabila dua kolam itu adalah hak dua parti, maka ia tidak jadi masalah. Sekarang ini, Pas mengikat dengan UMNO dalam satu kolam, iaitu satu perjanjian yang sah melalui MN. Pas juga terikat dengan Bersatu melalui ikatan yang sah iaitu PN.

Ada dua kolam pun, ia dah ada perjanjian sah, maka tidak salah.

Yang tidak betul ialah apabila mana-mana parti pergi main dengan kolam yang dia tidak ikat. Misalnya yang pembangkang pergi main di kolam kerajaan, yang kerajaan pergi main di kolam pembangkang. Itu dipanggil kolam tidak sah dan itu lebih buruk.

UMNO umum tolak Bersatu. Bagaimana Pas menanganinya?
Walaupun UMNO sebut tidak ada hubungan kukuh dengan Bersatu tetapi mereka ada hubungan yang asal dengan kerajaan PN. Ikatan itu jelas sehingga pemimpin-pemimpin UMNO dilantik sebagai menteri.

Ertinya hubungan yang dibina UMNO dengan kerajaan PN ini adalah betul. Apa yang berlaku adalah dulu UMNO tumpu pada pembentukan kerajaan (menyokong kerajaan PN) dan hari ini UMNO mula tumpu pada aspek parti sebab sudah hampir pilihan raya. Sikap UMNO itu Pas hormati.

Namun, Pas akan cuba cari titik penyelesaian setakat yang kita mampu untuk memastikan perbezaan pendapat itu selesai sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Apa yang akan berlaku dalam PRU-15 kelak, atas usaha kita pada hari inilah.

Jika akhirnya terpaksa memilih, Pas pilih UMNO atau Bersatu?
Itu bukan keputusan hari ini kerana hari ini ialah kita nak bersama kedua-duanya. Jangkaan pada masa depan pula bukanlah jawapan yang baik.

Jawapan kepada soalan anda masih tidak ada dan kalau ada jawapan pun bukan hari ini. Saya tak perlu rumus.

Pembahagian kerusi Pas dan UMNO secara status quo masih terpakai?
Dalam perbincangan mengenai agihan kerusi, kita memang sudah ada asas dan asas paling besar ialah status quo itulah.

Kawasan yang UMNO sudah menang buat apa kita nak kacau? Kawasan Pas menang pun sama. Itu asas yang jelas dan persetujuan kita sejak awal lagi.

Sekarang ini, kita tumpu pula kepada pembahagian pertambahan kerusi di tempat yang Pas dan UMNO belum menang.

Kalau begitu, di Kelantan, Bersatu mahu letak di mana?
Masih dalam proses rundingan.

UMNO kata, Pas banyak kerusi di Kelantan. Mungkin boleh berikan sedikit kepada Bersatu?
Pemimpin akar umbi ini dia boleh bercakap tetapi keputusan asas yang akhir akan dibuat pucuk pimpinan. Boleh diambil kira pandangan itu tetapi bukan semestinya akan menjadi keputusan parti.

Sebagaimana saya sebut tadi, sama ada Pas, UMNO atau Bersatu, kita tidak boleh jadikan pandangan itu satu isu besar kerana ia akan menganggu proses rundingan pembahagian kerusi yang sedang berjalan.

Bagaimana kalau kerjasama UMNO dengan PKR jadi nyata?
Itu keputusan parti masing-masing, tidak ada masalah. Begitulah demokrasi. Pas ada sikap dengan siapa dengan kita nak, kita boleh dan tidak boleh.

Pandangan Datuk Seri Anwar Ibrahim (tidak tolak kemungkinan bekerjasama dengan UMNO) bagaimanapun perlu diambil kira semua parti untuk melihat apa jangkaan dan peluang masing-masing bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Dalam UMNO didakwa wujud Kluster Mahkamah dan Kluster Anwar. Tidakkah isu ini mempengaruhi kerjasama?
Kluster apa pun, itu kumpulan-kumpulan dalam parti masing-masing. Pas sebagai parti yang mengikat perjanjian dengan UMNO akan memenuhinya dengan sempurna dan antara tanda hormat kita kepada perjanjian tersebut adalah untuk tidak masuk campur urusan dalaman UMNO.

Bukan kerja Pas untuk mengatur pemimpin mana dalam UMNO yang perlu memimpin atau sebaliknya. Kita tak boleh lihat pada satu pihak tertentu kerana itu tanda kita tidak menghormati perjanjian dengan UMNO sebagai rakan.

Itulah yang pernah berlaku kepada hubungan Pas dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) dulu dan perkara ini saya kena sebut.

DAP tidak menghormati perjanjian dengan Pas menerusi PR apabila masuk campur urusan dalaman Pas dan cuba menyusun kepimpinan parti. Malah mereka berani sebut ‘kami mahu bekerjasama dengan Pas tetapi kami tidak mahukan Presiden Pas.’

Itu punca pecahnya kerjasama Pas dengan DAP dan kita tidak akan mengulangi akhlak buruk DAP itu.

Krisis dalaman UMNO hari ini, kalau betul berlaku sama ada kecil atau besar, Pas mengambil sikap untuk tidak campur tangan.

Sejauh mana dakwaan wujud kem-kem dalam Pas?
Kalau kata wujud kem, saya boleh sahkan, tidak ada. Kalau kata perbezaan pandangan, itu sentiasa ada.

Perbezaan pandangan seperti dalam melihat masa depan parti, memikirkan strategi memang ada, tetapi yang terpakai dalam Pas akhirnya ialah ketetapan dibuat pucuk pimpinan parti.

Kalau orang luar lihat kita berbeza pandangan, saya nak beritahu itu perkara biasa. Bukan hari ini sahaja, bahkan sejak dulu lagi dalam Pas ini kita bebas bercakap mengenai perbezaan.

Tetapi untuk mengatakan hari ini wujud satu kem,atau dua atau tiga kem dalam Pas, itu confirm saya boleh beritahu, ia tidak wujud sama sekali.

Kalaupun wujud, itu cerita lima tahun lepas. Cerita yang menyebabkan Pas berpecah.

Hari ini saya yakin kepimpinan Pas cukup bersatu hati di bawah kepimpinan Tok Guru Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang).

Bagaimana dengan Geng Publika dan Geng Ustaz yang dikatakan mahu guling Presiden?
Itu biasalah. Itu sebenarnya adalah berita-berita palsu yang nyata. Orang Pas bila dengar pun ketawa sahaja.

Isu lompat parti, apa pendirian sebenar Pas?
Pas sebenarnya dari dulu lagi mengambil sikap menolak budaya lompat parti. Tetapi oleh kerana budaya ini masih lagi menjadi pertikaian, sama ada baik atau buruk dalam kalangan parti-parti, maka tidak ada satu undang-undang di negara ini yang boleh menyekat perbuatan itu.

Dari sudut akhlaknya, Pas sebagai parti Islam menganggap ia adalah khianat terhadap amanah rakyat.

Oleh kerana pertikaian itu berterusan, maka Pas menghormati kebebasan yang ada hari ini tetapi tetap mendidik pemimpin dan ahli kita supaya jangan buat perangai ini. Sebab itu sehingga hari ini tidak ada wakil rakyat semasa yang masuk atau keluar Pas.

Mana-mana parti yang membenarkan wakil rakyat parti lain masuk ke dalam parti dia, tidak bolehlah menyalahkan parti lain, atau wakil rakyat dia yang nak melompat ke parti lain.

Sebagai contoh, kenapa Amanah marah wakil rakyat mereka melompat, sedangkan mereka juga membenarkan orang dari parti lain melompat masuk Amanah? Malah Amanah yang ada ini pun asalnya melompat daripada Pas. Begitu juga PKR.

Pendirian Pas pula tetap konsisten. Budaya lompat ini harus disekat kerana ia melibatkan amanah rakyat yang mengundi parti, bukan individu.

Mungkin yang lompat parti ini fikir dirinya menang atas faktor individu?
Individu itu bertanding sebagai calon selepas dia mendapat perkenan parti. Kalau dia bertanding atas dirinya, dia tidak akan menang kerana realiti politik di Malaysia, orang mengundi parti manakala faktor individu sekadar nilai tambah.

Kalau ada yang kata dia disokong rakyat kerana individu, maka bertandinglah secara individu. Lepas tu lompatlah parti mana-mana sampai 10 kali pun.

Apa pendapat YB kenyataan Lim Guan Eng, ‘murtad tak boleh, kenapa lompat parti boleh’?
Perkara ini berkait dengan amanah dan khianat. Dalam Islam, murtad itu khianat dalam agama kerana dia sudah berjanji dengan Allah SWT, tetapi khianat pula. Maka murtad itu salah.

Isu lompat dalam parti politik pun sama, berkait dengan khianat dan amanah. Pada mulanya, wakil rakyat itu amanah dengan satu parti, namun dia khianat dan melompat pergi pula.

Kalau benar DAP mengecam dan menolak tindakan wakil rakyat melompat parti, maka itu adalah satu sikap yang betul dan saya lihat DAP ada satu konsistensi sama dengan Pas berhubung isu ini.

Bagi saya, apa disebut Lim Guan Eng itu ada benarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×