Boleh petik, beli sayur di SK Kubang Gajah

Boleh petik, beli sayur di SK Kubang Gajah

KU Liana Farhany Ku Abd. Halim merintis projek tanaman hidroponik bersama murid-muridnya menunjukan hasil segar di SK Kubang Gajah, Arau, Perlis. - UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Sayur-sayuran segar dan menghijau seolah-olah seperti berada di Cameron Highland dengan pelanggan boleh memetik sendiri dan membayar dengan harga cukup berpatutan.

Itu inisiatif yang diperkenalkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Gajah yang mengusahakan tanaman hidroponik membabitkan sayur sawi dan salad di satu ruang di kawasan sekolah tersebut.

Usaha tersebut dirintis oleh guru Sains sekolah tersebut, Ku Liana Farhany Ku Abd. Halim, 37, sejak Disember tahun lalu yang kini tanaman berkenaan sudah boleh dituai sekali gus mampu menjana pendapatan tambahan buat sekolah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ku Liana berkata, pada masa ini, terdapat lebih 500 sayur membabitkan sawi dan salad yang sudah boleh dituai seterusnya boleh dijual.

Katanya, sayur berkenaan dijual pada harga serendah RM1.50 setangkai dengan pembeli terdiri daripada ibu bapa, guru dan komuniti kampung berhampiran sekolah tersebut.

Ujarnya, proses tanaman tersebut turut melibatkan penglibatan murid-murid sebagai kemahiran tambahan untuk mereka.

“Inisiatif dan idea ini mula tercetus ketika saya berkunjung ke satu daripada sekolah di Thailand apabila menyaksikan mereka menanam kubis di tepi-tepi kelas dan ia sangat menarik. Insiatif itu juga bagi melahirkan usahawan dalam kalangan murid-murid ini.

“Hasil boleh dituai sebulan sekali dengan pendapatan sehingga RM750 sekali gus menjana pendapatan kepada sekolah khususnya buat subjek Sains dan Reka Bentuk Teknologi ini. Ramai yang datang membeli dalam waktu-waktu tertentu yang ditetapkan dengan mereka boleh petik, pilih sendiri sayuran sebelum membayarnya.

“Saya antara tujuh guru yang dipanggil untuk sesi temuduga bersama Pengarah Pendidikan sebelum ini untuk mencipta sesuatu untuk sekolah. Pada masa itu, saya memilih pertanian kerana ia juga berkaitan dengan Sains. Usaha tersebut mula membuahkan hasil selepas melihat kepada hasil tanaman ini,” katanya.

Tambah Ku Liana, daripada segi penjagaan, dia memantau daripada segi pembajaan, sukatan dan pH air selain fungsi pam solar yang membekalkan tenaga bagi mengerakkan pam air untuk tanaman berkenaan.

“Insya Allah selepas ini kita akan mempelbagaikan lagi jenis sayuran dan menambah ruang tanaman,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Kubang Gajah, Mazlan Abu Bakar berkata, inisiatif tersebut sebagai satu daripada usaha melatih murid dalam kemahiran kalis masa hadapan.

“Kita melatih murid dan memberi peluang belajar bukan sekadar akademik tetapi kemahiran secara menyeluruh termasuk dalam bidang pertanian kaedah hidroponik ini. Murid-murid ini juga terlibat dalam proses tanaman sehingga jualan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×