PETALING JAYA: Betamek Berhad (Betamek) mencatatkan untung bersih sebanyak RM5.1 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2024 berakhir 31 Disember 2023 daripada RM1.7 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Betamek dalam kenyataan berkata, pertumbuhan didorong permintaan kukuh produk elektronik dan komponen automotive dari Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua).
Jelasnya, perolehan suku tahunan naik 8.2 peratus kepada RM59.2 juta pada suku itu berbanding RM54.7 juta sebelum ini kerana sumbangan pendapatan lebih tinggi dari segmen produk audio, video kenderaan dan aksesori kenderaan.
Betamek menyistiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 2.0 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 dengan tarikh kelayakan 9 Februari akan dibayar pada 23 Februari.
Menurutnya, prestasi teguh suku tahunan menaikkan keuntungan bersih Betamek bagi sembilan bulan pertama berakhir 31 Disember 2023 sebanyak 46.8 peratus.
“Keuntungan bersih meningkat kepada RM15.5 juta berbanding RM10.6 juta pada tahun sebelumnya, manakala, perolehan naik 10.9 peratus kepada RM166.0 juta daripada RM149.8 juta pada tahun kewangan 2023,” katanya.
Kedudukan tunai bersih Betamek meningkat kepada RM52.3 juta selepas memotong pinjaman RM11.5 juta dengan aset bersih RM0.33 sesaham sehingga 31 Disember 2023.
Pengarah Eksekutif Betamek, Fauzi Ghani berkata, keuntungan syarikat pada suku ketiga dan sembilan bulan pertama meningkat dengan ketara disebabkan kawalan lebih baik terhadap perbelanjaan pentadbiran dan operasi.
Dalam pada itu, beliau menjangkakan permintaan untuk produk AV kenderaan dan aksesori kenderaan syarikat akan terus berkembang seiring dengan peningkatan permintaan kenderaan pelanggan utamanya.
Betamek telah mengisytiharkan RM15.8 juta sebagai dividen sejak penyenaraiannya pada Oktober 2022 dan meningkatkan prestasi operasinya semasa mencari peluang menambah nilai kepada pemegang saham.-UTUSAN










