Sistem pendidikan prasekolah diselaras

Sistem pendidikan prasekolah diselaras

Sistem pendidikan negara tidak perlu dirombak tetapi perlu ditambah baik. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jemaah menteri semalam memutuskan sistem pendidikan prasekolah di seluruh negara diselaraskan semula supaya kua­liti pendidikan awal kanak-kanak lebih terjamin dan menyeluruh.

Keputusan itu dibuat selepas mendapati wujud kualiti pendidikan prasekolah yang pelbagai di seluruh negara, justeru ia harus disela­raskan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Kementerian Pen­didikan sudah diarahkan untuk melaksanakan penyelarasan semula sistem pendidikan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita lihat ada pendidikan prasekolah yang agak pelbagai, malah kadangkala kami terima aduan daripada ibu bapa me­ngenai kualiti pendidikan berbeza-beza.

“Justeru, tadi (mesyuarat jemaah menteri) memutuskan su­paya sistem pendidikan itu di­selaraskan semula. Ini adalah keputusan dibuat hari ini (semalam).

“Kita (kerajaan) ingin pasti­kan pendidikan prasekolah yang disediakan kepada rakyat terutama bagi golongan berpendapatan rendah adalah berkua­liti dan kurikulumnya disela­ras­kan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau yang juga jurucakap kerajaan berkata, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dijangka mengeluarkan ke­nyataan rasmi mengenai keputusan itu dalam masa terdekat.

Ditanya sama ada penyela­rasan itu hanya membabitkan pendidikan prasekolah di pe­ringkat institusi sekolah kerajaan, Fahmi berkata, beliau difahamkan keseluruhan ekosistem pendidikan prasekolah di seluruh negara terlibat.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Pendidikan meneliti semula sistem prasekolah dengan menyediakan kemudahan tambahan untuk semua pelajar di seluruh negara.

Ia berikutan kemerosotan prestasi pelajar dicatatkan dalam skor Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 berbanding 2018.

Daripada 81 negara yang mengambil bahagian dalam PISA 2022, 58 negara me­ngalami penurunan mata skor termasuk Malaysia, Amerika Syarikat (AS), Perancis, United Kingdom (UK) dan Jerman.

Pelajar Malaysia mengalami penurunan skor untuk tiga sektor utama iaitu Literasi Matematik, Literasi Saintifik dan Literasi Bacaan.

Lebih merunsingkan, laporan Bank Dunia dalam kajian semula sistem pendidikan awal kanak-kanak Malaysia yang dikeluarkan pada 30 Mei tahun lalu mendapati, kualiti prasekolah di Malaysia masih di peringkat kurang memuaskan walaupun sudah 66 tahun mencapai kemerdekaan.

Hasil kajian itu juga menyenaraikan beberapa isu yang perlu diberi perhatian, antaranya kekurangan prasekolah di kawasan tertentu, kurangnya kesedaran ibu bapa mengenai manfaat menghantar anak ke prasekolah, bebanan kos prasekolah, kualiti guru yang rendah dan penindihan peranan di antara kementerian dan agensi yang mengawasi Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) di Malaysia.

Sistem pendidikan formal di Malaysia bermula seawal usia empat tahun, iaitu pendidikan prasekolah, namun ia bukanlah pendidikan wajib. Bagaimanapun, majoriti kanak-kanak yang berusia enam tahun telah memulakan pendidikan prasekolah secara formal sebagai persediaan untuk menempuh alam persekolahan.

Malah, sebahagian besar sekolah kebangsaan (SK) telah mewujudkan kelas prasekolah dengan memberi keutamaan kepada kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah.

Pendidikan prasekolah di Malaysia dilaksanakan beberapa agensi iaitu Kementerian Pendidikan, agensi awam lain seperti Tabika Perpaduan, Tabika Kemas dan tabika di bawah seliaan kerajaan ne­geri seperti Tadika Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan prasekolah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) serta tadika swasta.

Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) memperuntukkan pendi­dikan prasekolah dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Mela­lui pernyataan dasar ini, Kementerian Pendidikan bertanggungjawab memberikan pendidikan prasekolah kepada kanak-kanak yang berumur empat hingga enam tahun.

Dasar Pendidikan Kebangsaan berkaitan pendidikan prasekolah memperuntukkan kanak-kanak di Malaysia yang berumur empat hingga lima tahun mendapat pendidikan prasekolah sama ada yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan, agensi kerajaan, pihak swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Selain itu, memastikan pematuhan kepada penggunaan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (KPK) di semua institusi prasekolah kecuali di prasekolah antarabangsa dan ekspatriat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini