Segera daftar PADU elak terlepas bantuan

Segera daftar PADU elak terlepas bantuan

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat diminta segera mendaftar maklumat diri dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi mengelakkan daripada tercicir menerima bantuan dan subsidi bersasar yang dilaksanakan kerajaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, sistem PADU adalah bagi memastikan matlamat kerajaan untuk mengagihkan bantuan benar-benar mencapai kepada golongan sasar.

“Tidak mendaftar PADU memang tidak salah tetapi mengikut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mereka berisiko tercicir daripada bantuan kerajaan dan rasionalisasi subsidi termasuk subsidi petrol,” kata beliau.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, kerajaan akan menjadikan maklumat dalam sistem tersebut untuk menentukan siapa yang layak diberi bantuan dan subsidi. Justeru, kata beliau, jika rakyat tidak mendaftar dengan PADU, kerajaan tidak boleh menentukan taraf ekonomi mereka, seterusnya mengakibatkan nama mereka mungkin tiada dalam senarai penerima yang layak.

“Kerajaan sedang menggunakan semua pendekatan untuk menerangkan kepada rakyat berkenaan sistem itu selain memberi jaminan tidak berlaku isu kebocoran data peribadi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam pada itu, beliau menafikan sistem PADU terlalu rumit sehingga orang ramai tidak berminat mendaftar.

“Sistem ini adalah untuk kegunaan jangka masa panjang. Setakat ini PADU tiada masalah. Ia hanya memerlukan kita mengisi maklumat yang diperlukan.

“Kalau isi maklumat seperti latar belakang, alamat, status perkahwinan ia tidaklah dilihat sebagai perkara yang sukar. Hanya melibatkan profail sahaja,” katanya.

Semalam, Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) berkata, terdapat stigma menebal dalam kalangan rakyat terhadap PADU antaranya melibatkan keselamatan data pengguna dan ketidakfahaman mereka berhubung keperluan mendaftar ke dalam sistem itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN