PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memberi amaran kepada orang ramai agar tidak melabur dengan Hap2py, sebuah platform pembiayaan antara rakan setara/’peer-to-peer’ (kewangan P2P) yang tidak dibenarkan di Malaysia.
SC dalam kenyataan berkata, SC telah mengambil tindakan terhadap Hap2py, termasuk menyenaraikan dalam Senarai Peringatan Pelabur SC, menyekat beberapa laman webnya dan mengeluarkan perintah henti operasi.
Bagaimanapun, SC mendapati Hap2py tetap terus mendekati pelabur Malaysia melalui pelbagai cara termasuk melalui variasi laman web serta iklan di media sosial selain terdapat aduan daripada orang ramai.
“SC memandang serius ketidakpatuhan ini, serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya, termasuk tindakan penguatkuasaan,” katanya.
Menurutnya, Hap2py bukan Pengendali Pasaran Diiktiraf (RMO) yang dibenarkan.
“Ia mengendalikan platform P2P tanpa mendapatkan kebenaran SC sebagai RMO yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 7(1) (e) yang dibaca bersama Seksyen 34 Akta Perkhidmatan Pasaran Modal 2007,” katanya.
Sementara itu, SC menekankan kepentingan untuk pelabur hanya melabur dengan RMO yang didaftarkan dan dibenarkan oleh SC sahaja.
Suruhanjaya berkata, RMO berdaftar telah menjalani penelitian kawal selia dan dikehendaki mematuhi garis panduan dengan ketat supaya pelabur dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia.
“Ketika ini, terdapat 12 RMO berdaftar untuk pembiayaan P2P dan hanya mereka yang dibenarkan untuk mengendalikan P2P di Malaysia,” ujarnya.-UTUSAN










