Tidak benar dakwaan aktiviti Quantum Metal dilulus

Tidak benar dakwaan aktiviti Quantum Metal dilulus, dilesankan BNM 

Bank negara
BANK Negara Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) menafikan telah melulus dan melesenkan aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh Quantum Metal Sdn Bhd (QMSB).

Bank pusat dalam kenyataannya berkata, status QMSB sebagai institusi pelopor tidak bermakna produk dan aktiviti perniagaannya seperti produk dan dagangan emas adalah didaftarkan, diluluskan atau dilesenkan di bawah undang-undang yang ditadbir oleh BNM.

“Sebarang dakwaan bahawa aktiviti QMSB diluluskan dan dilesenkan oleh BNM, secara langsung atau tidak langsung, adalah tidak benar,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

BNM mengeluarkan kenyataan itu bagi menjelaskan beberapa dakwaan dan salah nyata fakta yang tular mengenai urusan Quantum Metal.

Menurutnya, Quantum Metal merupakan institusi pelopor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiiviti Haram 2001 (AMLA).

Jelasnya, Quantum Metal berurusan dengan logam atau batu berharga iaitu aktiviti yang disenaraikan sebagai perkara 24 di bawah Bahagian 1 dalam Jadual Pertama AMLA bersama-sama sektor perniagaan dan profesion bukan kewangan yang ditentukan yang lain seperti peguam, akautan, syarikat amanah dan setiausaha syarikat.

“Sebagai sebuah institusi pelapor, QMSB dikehendaki melaksanakan langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan aktiviti institusi tersebut daripada disalahgunakan sebagai saluran bagi aktiviti pengubahan wang haram atau aktiviti pembiayaan keganasan,” katanya.

BNM juga menyatakan pihaknya maklum mengenai dakwaan menerusi media sosial bahawa semua transaksi masuk dari luar negara memerlukan kelulusan dan pengesahan BNM berhubung dengan AMLA.

Jelasnya, sebarang aliran masuk dana ke dalam negara, kecuali untuk tujuan pinjaman luar pesisir yang melebihi had tertentu yang diperuntukkan di bawah dasar pertukaran asing, tidak memerlukan pengesahan dan kelulusan daripada BNM terlebih dahulu.

BNM turut menegaskan bahawa tiada sesiapa pun yang boleh menyalahgunakan nama dan urusan surat-menyurat BNM sehingga boleh mengundang salah faham bahawa produk atau perkhidmatan mereka diluluskan oleh BNM.

“Dakwaan mempunyai kaitan dengan BNM oleh mana-mana entiti atau individu tidak seharusnya dijadikan satu-satunya pertimbangan bagi menentukan kesahihan perniagaan tersebut.

“BNM ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada apabila membuat keputusan pelaburan. Sebarang aktiviti kewangan yang disyaki dilakukan tanpa kebenaran hendaklah dilaporkan kepada pihak penguatkuasa undang-undang yang berkaitan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×