JERANTUT: Masih segar dalam ingatan seorang peneroka Felda Jengka 24 di sini saat mula menjejakkan kaki ke tanah rancangan terbabit kira-kira 40 tahun lalu dengan hanya membawa beberapa keping tikar dan bantal serta menggalas beg berisi sedikit pakaian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Razak Daud, 64, berkata, ketika dipanggil untuk meneroka tanah rancangan, dia dan isterinya, Halijah Abd. Jalil, 63, bersama empat anak terpaksa menyewa teksi untuk sampai ke Felda Jengka 24 yang jaraknya hampir 50 kilometer dari kampung asal.
“Ketika itu, saya hanya membawa beberapa helai tikar, empat bantal dan pakaian berbekalkan semangat ke sini setelah permohonan menyertai Felda sebagai peneroka diterima pada 1985.
“Kerja di kampung sebagai penoreh getah dan menangkap ikan liar Sungai Pahang tidak ‘padan’ untuk berbelanja barang keperluan dapur lebih-lebih lagi kehidupan ketika itu. Saya perlu mengubah kehidupan dengan memohon menyertai tanah rancangan Felda kerana yakin di sini ada rezeki dan kesenangan akan datang,” katanya di sini semalam.
Kelmarin, penantian Razak dan 292 peneroka di tanah rancangan itu berakhir selepas menerima surat hak milik masing-masing yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
FELDA
Razak yang juga Ketua Peneroka Felda Jengka 24 berkata, sejak Felda ditubuhkan pada 1 Julai 1956 dan pertama kali menempatkan peneroka di Lurah Bilut, Bentong pada 1958 atas usaha Allahyarham Tun Abdul Razak membuktikan kejayaan membasmi kemiskinan yang sehingga kini sudah pun berhasil apabila hampir 43,000 peneroka di seluruh tanah rancangan di negeri ini memperoleh kesenangan hidup.
Peneroka Felda Jengka 24, Ariffin Mohamad, 59, berkata, sekiranya tidak ‘berhijrah’ ke tanah rancangan itu belum tentu nasib serta kehidupannya akan berubah dan menjadi lebih baik.
Menurutnya, ketika menjejakkan kaki ke situ, dia hanya membawa peralatan tidur dan pakaian serta mengambil masa sehari untuk sampai ke Felda Jengka 24.
“Sampai ke sini pada awal 1985 segala kemudahan sudah disediakan cuma menanti semangat dan kudrat kita (peneroka) untuk mengubah kehidupan masing-masing.
“Saya berusaha sehingga kini apabila hasil perolehan komoditi sawit telah banyak mengubah kehidupan keluarga, sehingga kini,” katanya. – UTUSAN










