Mukadimah
KETIKA UMNO Pusat mahu menamatkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), berbeza pula dengan UMNO Perlis yang menetapkan pendirian meneruskan kerjasama dengan parti tersebut di negeri itu.
Malah, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, DATUK SERI SHAHIDAN KASSIM dilihat terus konsisten mempertahankan penyatuan ummah membabitkan kerjasama parti-parti Melayu termasuk Bersatu..
Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB di kediaman beliau di Jejawi, Arau, Perlis baru-baru ini, SHAHIDAN berkongsi pandangan mengenai pelbagai isu politik semasa termasuk menjawab tuduhan dilabel sebagai ejen Bersatu berikutan pendiriannya yang lantang mempertahankan penyatuan tersebut.
UTUSAN: Pandangan Datuk Seri mengenai surat yang dihantar oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi Hamidi pada 26 Februari lalu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menamatkan kerjasama kedua-dua parti?
SHAHIDAN: Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang sebelum ini memutuskan bahawa keputusan mesyuarat bahagian iaitu sama ada menyokong atau menolak Bersatu, MT telah membuat keputusan merujuk perkara itu dalam Perhimpunan Agung UMNO pada akhir bulan ini. Tetapi baru-baru ini dalam mesyuarat MT, kami tidak dibenarkan untuk bercakap apa-apa keputusan, itu diserahkan kepada presiden.
Tapi surat yang dihantar oleh presiden ini menimbulkan masalah sebab surat ini bukan dikeluarkan oleh UMNO, tetapi disebarkan oleh Bersatu. Jadi, kalau Bersatu yang keluarkan surat itu, apakah kami akan berpegang pada surat berkenaan? Yang kita tidak dapat pengesahan bahawa surat itu dikeluarkan oleh presiden atau itu adalah keputusan yang dibuat oleh ahli MT? Kami tidak dapat makluman rasmi daripada ibu pejabat parti. Kalau itu makluman rasmi yang semua negeri kena ikut, tidak mengapalah, dan kalau hendak ikut sekali pun bukan sekarang tetapi masa pilihan raya.
Kenapa orang lain hendak menyibuk pula?
Tetapi sekarang kami, UMNO sokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), yang keputusan hendak tolak Bersatu itu masa pilihan raya nanti, bukan sekarang.
Bagaimana kehendak akar umbi berhubung soal kerjasama dengan Bersatu?
Kalau akar umbi Perlis. jelas bekerjasama dan bersatu padu di antara parti-parti politik iaitu penyatuan antara tiga parti ini iaitu UMNO, Pas dan Bersatu.
Ketika UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu, berbeza pula dengan pendirian UMNO Perlis yang mahu meneruskan kerjasama dengan Bersatu. Komen?
Ini bukan keputusan Shahidan tetapi keputusan mesyuarat bahagian-bahagian di Perlis, iaitu bekerjasama dengan semua parti politik bumiputera. Kita memang memperkuatkan Muafakat Nasional (MN) dengan Pas tetapi masalah besarnya Pas telah menyertai PN dan Pas beritahu akan terus kerjasama dengan UMNO tetapi bawa Bersatu bersama. Kita kena buat pilihan sama ada kita hendak Pas dan Bersatu atau tidak. Kalau tidak, kita akan bergerak sendirian dalam pilihan raya. Itu ketetapan yang akan diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO. Pada masa sekarang, kita menyokong kerajaan PN. Kita tidak mahu kerajaan PN ini ditumbangkan oleh mana-mana pihak.
Tidak bimbang dikenakan tindakan selepas dilihat tidak selari dengan UMNO dalam soal kerjasama dengan Bersatu?
UMNO bukan parti pecat orang. Dalam sejarah UMNO yang mempunyai empat juta ahli, yang pernah dipecat itu kerana melanggar keputusan parti. Saya bukan langgar keputusan parti, lagipun parti hendak buat keputusan masa pilihan raya nanti.
Akar umbi dilihat keliru dengan pendirian Presiden sama ada hendak bergerak sendirian atau bekerjasama dalam pilihan raya?
Akar umbi ikut negerilah, kalau Perlis kita jelas memang mahu kerjasama tersebut.
Datuk Seri dikatakan agak cenderung kepada Bersatu?
Bila kami sokong kerajaan PN, adakah kami sokong Bersatu? Kita kena ingat, dalam kerajaan PN ada 11 menteri dari Barisan Nasional (BN). Bila saya sokong kerajaan sekarang, kenapa tidak tuduh saya sokong Pas, sokong Gabungan Parti Sarawak (GPS)? Kenapa saya dituduh hanya sokong Bersatu? Sekarang apabila sokong kerajaan PN, terus dituduh sebagai ejen Bersatu. Pasal apa hanya ejen Bersatu, kenapa tidak kata ejen Pas?
Datuk Seri lihat peluang UMNO atau BN dalam pilihan raya jika tidak bekerjsama dengan Bersatu?
Untuk Perlis, kita akan menang dengan hebat jika kita bersama. Sekarang masalah besar, kita mahu dengan Pas, tetapi Pas bagi syarat kena kerjasama dengan Bersatu. Kalau kita hendak bersama Pas, ikutlah pandangan Pas. Sekarang kita jangan fikir kita tidak mahu Bersatu, kalau Bersatu pula tidak mahu dekat kita bagaimana? Sekarang kerajaan boleh tumbang kerana emosi sesetengah pihak. Peluang lebih besar menang adalah dengan kerjasama ketiga-tiga parti ini.
Datuk Seri adalah antara pemimpin paling lantang berjuang untuk melihat penyatuan parti-parti Melayu?
Kita hendak menang. Penyatuan ummah itu adalah prinsip kita. Kita kena ingat, kita menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dulu adalah kerana MN bukan kerana UMNO semata-mata. Lepas itu kita menang selepas kerjasama UMNO, Pas dan Bersatu. Kita menang dulu kerana kita bersama dengan orang lain. Kalau UMNO sahaja, saya rasa peluang itu sedikit sukar.
Bagaimana hubungan UMNO dan Pas sekarang?
Hubungan kita sangat baik, kita juga baru lepas mengadakan mesyuarat. Mesyuarat lepas ini, kita juga akan panggil Bersatu untuk duduk semeja bekerjasama. Pendirian saya ketika ini menyokong kerajaan PN sampai pilihan raya. Lepas pilihan raya ikut keputusan partilah, itu kemudian. Kenapa pertikai pendirian saya sekarang? Sekarang kita kena kerjasama dengan Bersatu dalam kerajaan PN.
Kenapa sesetengah pemimpin UMNO begitu keras menolak kerjasama dengan Bersatu?
Kami di Perlis tidak tahu, sebab kami tidak ada wakil rakyat Bersatu di Perlis. Di Sabah ada wakil rakyat Bersatu, semua negeri berbeza-beza. Kalau kita tolak Bersatu, Sabah tidak akan sokong.
Setakat sekarang, kita nyatakan pendirian kerjasama dengan Bersatu di Perlis dan Sabah. Negeri-negeri lain, saya tidak tahu.
UMNO Perlis menyatakan pendirian sedia bekerjasama dengan Bersatu. Adakah UMNO sedia berkorban kerusi untuk Bersatu dalam pilihan raya akan datang?
Bukan sedia kerjasama, kami memang sudah bekerjasama sekarang dalam kerajaan PN. Soal kerusi bukan saya putuskan tapi jawatan kuasa perunding. Ramai menyebut, adakah sedia korban kerusi? Adakah mereka ingat saya ini pengerusi jawatan kuasa perunding kerusi? Terserah kepada mereka (jawatan kuasa perunding kerusi).
Adakah akan berlaku rombakan Kabinet dalam tempoh terdekat?
Saya tidak tahu, tidak dengar mengenai perkara tersebut. Bagi saya, hendak rombak buat apa? Prestasi menteri semua baik, kena sokonglah. Dahulu masa saya jadi menteri, mereka sokong dan sekarang mereka jadi menteri, saya kena sokonglah.
Adakah dengan melantik timbalan perdana menteri daripada UMNO boleh meredakan sedikit ketegangan?
Saya setuju dilantik timbalan perdana menteri dari UMNO walaupun MT buat keputusan tidak mahu berbincang mengenai perkara ini. Tetapi jika tanya saya sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PNBBC), saya menyokong timbalan perdana menteri itu dilantik daripada UMNO.
Nasihat Datuk Seri?
Nasihat saya kepada semua pihak, kerjasama atau tidak dengan Bersatu ini masa pilihan raya. Kenapa dibincang sekarang? Pilihan raya tidak tahu lagi bila, mungkin setahun, mungkin dua tahun.
Kemudian kita menetapkan kawan kita (Bersatu) hanya sebelum pilihan raya, lepas itu bermusuh. Tidak perlulah beritahu orang. Apa pun tunggu keputusan Perhimpunan Agung UMNO. Tapi kalau hendak tolak Bersatu, apakah kita untung? Kalau tolak Bersatu kita untung boleh menang banyak kerusi, tidak apalah.









