LOS ANGELES: Penyanyi terkenal, Beyonce Knowles-Carter mencipta rekod baharu apabila berjaya memenangi Anugerah Grammy ke-28 dalam Anugerah Grammy 2021 yang berlangsung di Los Angeles.
Lapor BBC, Beyonce merangkul trofi bagi kategori Persembahan R&B Terbaik menerusi lagu Black Parade.
Selebriti itu kini menjadi artis wanita paling banyak memenangi anugerah dalam sejarah Anugerah Grammy sekali gus mengatasi rekod penyanyi arena muzik country, Alison Krauss.
“Saya berbesar hati dan teruja menerima anugerah ini.
“Sebagai artis, saya percaya ia menjadi tugas saya untuk mencerminkan masa malah ia merupakan tempoh yang agak sukar.
“Jadi, saya mahu memperkasa, mengalakkan dan meraikan semua individu berkulit hitam yang terus memberi inspirasi kepada saya dan seluruh dunia,” kata penyanyi berusia 39 tahun itu ketika menerima anugerah tersebut.
Beyonce turut memenangi kategori Persembahan Rap Terbaik bersama Megan Thee Stallion bagi lagu Savage dan Video Muzik Terbaik menerusi lagu Brown Skin Girl dalam majlis berprestij itu.
Anugerah Grammy Ke-63 kali ini berlangsung secara maya dari Pusat Konvensyen Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).
Dalam pada itu, penyanyi, Taylor Swift juga melakar sejarah apabila menjadi artis wanita pertama yang memenangi anugerah bagi kategori Album Terbaik, buat tiga kali berturut-turut.
Swift menerima trofi bagi album Folklore selepas pernah memenangi kategori sama menerusi album Fearless pada 2010 dan album 1989 pada tahun 2016.
Dilaporkan, hanya tiga artis lain yang pernah memenangi album terbaik sebanyak tiga kali iaitu Frank Sinatra, Paul Simon dan Stevie Wonder.
Penyanyi R&B, H.E.R pula memenangi anugerah bagi kategori Lagu Terbaik menerusi lagu I Can’t Breathe yang memetik kata-kata terakhir mendiang George Floyd.











