PETALING JAYA: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan jualan baharu kenderaan bermotor merosot sebanyak 7.5 peratus pada tahun ini selepas merekodkan jualan tertinggi baharu pada 2023 sebanyak 799,731 unit.
Presiden MAA, Mohd. Shamsor Mohd. Zain dalam kenyataan berkata, kemerosotan itu didorong oleh ketegangan geopolitik dan pertumbuhan ekonomi global perlahan yang diunjurkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kepada 2.9 peratus daripada tiga peratus pada 2023.
Sehubungan itu, Shamsor berkata, rantaian bekalan baik dan pelancaran model baharu dengan harga yang berpatutan akan menyokong jualan pada 2024.
Tambah beliau, keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan penanda aras Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tiga peratus juga menggalakkan dan memastikan kos pinjaman stabil memberikan petanda baik kepada industri.
“Bagaimanapun, perbelanjaan pengguna mungkin perlahan disebabkan kebimbangan terhadap rasionalisasi subsidi bersasar, kos sara hidup tinggi, pelaksanaan cadangan cukai barang bernilai tinggi dan kadar cukai perkhidmatan tinggi bagi sesetengah perkhidmatan, termasuk pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan bermotor,” katanya.
Sementara itu, beliau menjelaskan, TIV pada 2023 meningkat 11 peratus kepada paras tertinggi didorong oleh sub-segmen kereta penumpang, ekonomi domestik yang berdaya tahan dan persekitaran sosio-politik yang sangat stabil.
“Perodua mendahului dengan 330,325 unit, diikuti Proton (150,975 unit), Toyota (106,206 unit), Honda (80,027 unit), Mitsubishi (21,719 unit) dan lain-lain (110,479 unit) daripada 799,731 unit yang direkodkan pada 2023,” katanya.
Menurut beliau, bagaimanapun, jualan Proton pada 2023 adalah yang terbaik dalam tempoh lebih sedekad, dan menandakan pertumbuhan tahun kelima berturut-turut daripada sekitar 141,000 pada 2022 berbanding Perodua.
Dalam pada itu, beliau menambah, jumlah pengeluaran industri (TIP) kenderaan baharu pada 2023 turut meningkat sebanyak 10 peratus atau 72,325 unit untuk mencapai jumlah 774,600 unit berbanding 702,275 unit pada 2022.
“Ini menandakan tahun kedua berturut-turut TIP melebihi paras 700,000 unit,” katanya. – UTUSAN









