Telaga tiub UMS siap sepenuhnya Mac ini

Telaga tiub UMS siap sepenuhnya Mac ini

ZAMBRY ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Pembinaan telaga tiub yang dijangka siap sepenuhnya Mac ini bakal menyelesaikan isu bekalan air berlarutan hampir tiga tahun di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, pembinaannya kini berada dalam fasa pemasangan tiub di beberapa lokasi yang dikenal pasti mempunyai sumber air.

Katanya, UMS memerlukan antara lima hingga lapan juta liter sehari, namun kapasiti bekalan sedia ada hanyalah 30 peratus daripada jumlah itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kemampuan melalui pendekatan telaga tiub ini sebagai tambahan, dijangka ia dapat membantu tambahan sebanyak 30 peratus lagi.

“Apa yang dimaklumkan tempat yang hendak dicari gali, mereka hanya dapat beberapa kawasan sahaja dan saya telah mengarahkan supaya segera diselesaikan isu itu.

“Pihak universiti juga sedang memastikan supaya tiub telaga yang dikenal pasti dapat dipasangkan dengan segera dan projek itu dijangka selesai pada Mac ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kolej Komuniti Jasin di sini, hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, UMS memerlukan bekalan air sebanyak lima juta liter air sehari, namun Jabatan Bekalan Air Sabah hanya boleh membekalkan dua juta liter sehari.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, perkara itu menyebabkan gangguan serta bekalan air tidak mencukupi di universiti itu.

Tambah Zambry, alasan ketiadaan peruntukan untuk menyelesaikan masalah itu tidak boleh dijadikan penyebab ia terus berlanjutan sejak 2021.

“Alasan tidak ada peruntukan, sebenarnya mereka boleh maklumkan, namun begitu pada peringkat ini saya elak daripada meletakkan sebarang tuduhan, saya hendak kita bekerjasama untuk selesaikan masalah pelajar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini