PETALING JAYA: Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) FBM KLCI ditutup melepasi 1,500 pada 5 petang, Isnin kepada 1,501.11, naik 13.77 berbanding 1,487.34 semasa ditutup pada Jumaat.
Indeks penanda aras dibuka 0.94 mata lebih baik pada 1,488.28 dan bergerak antara 1,487.81 dan 1,501.86 semasa sesi dagangan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, FBM KLCI dijangka mengekalkan momentum sihat, melepasi paras psikologi 1,500 mata pada minggu ini,
Katanya, ini berikutan jangkaan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) pada tahun ini.
Jelas beliau, bacaan kadar inflasi di AS yang melebihi jangkaan bagi bulan Disember telah menyebabkan peserta pasaran untuk menyemak semula tanggapan bahawa kadar faedah di AS akan turun.
“Bagaimanapun, pasaran bon di AS masih menunjukkan bahawa jangkaan penurunan kadar faedah di AS tidak terjejas dengan kadar pulangan bon perbendaharaan AS bagi tempoh matang dua tahun, merosot sebanyak 10 mata asas ke paras 4.14 peratus pada Jumaat lalu.
“Perkembangan pilihan raya di Taiwan juga seharusnya membantu dalam meningkatkan sentimen pasaran yang positif.
“Hal itu disebabkan apabila calon presiden daripada Democratic Progressive Party (DPP) kekal menerajui negara tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tambahnya, Presiden AS, Joe Biden juga telah memberi kenyataan yang positif terhadap keputusan tersebut yang menunjukkan bahawa hubungan antara AS dan China dijangka kekal stabil pada masa terdekat ini.
Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohamad Khair Afham Muhamad Senan pula berpendapat, Bursa Malaysia dijangka didagangkan dengan lebih berhati-hati dalam minggu ini.
Menurutnya, ini didorong oleh perubahan besar dalam situasi makro berikutan rekod inflasi AS yang lebih tinggi daripada jangkaan, sekaligus menidakkan jangkaan pemotongan kadar faedah di negara itu.-UTUSAN










