Pelabur asing jual bersih RM93.1 juta saham minggu lalu

Pelabur asing jual bersih RM93.1 juta saham minggu lalu

FBM KLCI dijangka mencapai paras 1,740 mata menjelang akhir tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabur asing menamatkan aliran masuk untuk empat minggu berturut-turut apabila kembali menjual bersih RM93.1 juta ekuiti di Bursa Malaysia pada minggu lalu.

MIDF Research dalam Laporan Aliran Dana minggu berakhir 12 Januari berkata, setiap hari dagangan menyaksikan jualan bersih, kecuali hari Isnin apabila warga asing membeli RM29.8 juta.

Katanya, aliran masuk diperhatikan dalam saham seperti Public Bank (RM42.2 juta), Sime Darby (RM29.4 juta) dan YTL Power (RM28.6 juta).

“Tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah utiliti (RM181.4 juta), pembinaan (RM67.0 juta) dan tenaga (RM51.8 juta).

“Sementara itu, sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah produk dan perkhidmatan pengguna (RM241.2 juta), pengangkutan dan logistik (RM103.7 juta) dan produk dan perkhidmatan perindustrian (RM99.0 juta),” katanya di sini, semalam.

Firma penyelidikan itu berkata, institusi tempatan terus menjadi penjual bersih untuk minggu ketiga berturut-turut pada jumlah RM141.6 juta.

Menurutnya, sektor teknologi menyaksikan aliran keluar bersih tertinggi daripada kumpulan pelabur ini, berjumlah RM122.6 juta.

“Peruncit tempatan terus menjadi penjual bersih ekuiti domestik pada RM10.0 juta, walaupun pada kedudukan yang lebih perlahan berbanding minggu sebelumnya pada RM383.3 juta.

“Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) dalam kalangan peruncit tempatan (2.6 peratus), institusi tempatan (3.4 peratus) dan pelabur asing (10.6 peratus),” ujarnya.

MIDF Research berkata, berdasarkan pemerhatiannya, dana asing secara kolektif dilaburkan dalam lapan pasaran ekuiti Asia untuk minggu kesepuluh berturut-turut, dengan sebahagian besar berasal dari Korea Selatan.

Jelasnya, Indonesia, Taiwan dan Filipina adalah antara negara yang mengalami aliran masuk, manakala negara selebihnya menyaksikan aliran keluar.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×