PETALING JAYA: Co-opbank Pertama (CBP) merasmikan dua cawangan secara serentak di Sandakan, Sabah bagi cawangan ke-32 dan Kuching, Sarawak bagi cawangan ke-33.
Dalam kenyataan, Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi berkata, pembukaan kedua cawangan ini untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat selain seiring dengan perancangan strategik CBP mengembangkan perniagaan di negeri berkenaan.
“Cawangan Kuching II ini merupakan cawangan CBP yang ketiga di Sarawak selepas di Jalan Kulas, Kuching dan Miri.
“Manakala, cawangan Sandakan adalah cawangan ketiga di Sabah selepas Kota Kinabalu dan Tawau serta merancang membuka satu lagi cawangan di Papar, Sabah pada suku kedua tahun ini,” katanya.
Perasmian cawangan Sandakan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Rusli Jaafar. Manakala bagi cawangan Kuching II pula dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Amran Abd Kadir.
Tambah Baharom lagi, CBP komited terhadap perancangan yang digariskan di dalam Pelan Strategik CBP 2022-2026 untuk memiliki 36 cawangan di seluruh negara dapat dicapai dengan jayanya.
“CBP berharap dengan pertambahan cawangan di Sabah dan Sarawak, penduduk setempat dapat memberi sokongan sepenuhnya kepada produk dan perkhidmatan yang ditawarkan selain anggota dan pelanggan sedia ada dapat menjalankan urusan dengan mudah,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, CBP menjangkakan beberapa cawangan lain akan dibuka pada tahun ini iaitu di Jerteh, Terengganu; Batu Pahat, Johor serta Bangi, Selangor. – UTUSAN










