JS-SEZ: tingkat KDNK sehingga 4%

JS-SEZ: tingkat KDNK sehingga 4%

PROJEK Rapid Transit System Link (RTS Link) secara simboliknya “disambungkan” antara Malaysia dan Singapura baru-baru ini.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) memberi manfaat kepada Johor dan dijangka meningkatkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak tiga hingga empat peratus dalam masa beberapa tahun, kata pakar ekonomi.

Secara keseluruhan, JS-SEZ membolehkan Singapura menarik bakat terbaik dari Malaysia tanpa perlu berhijrah ke sana, sekaligus memberi impak positif selagi ia mempunyai visi yang jelas dan diuruskan oleh profesional yang mempunyai tahap tadbir urus dan integriti tinggi.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pelaksanaan zon ekonomi khas adalah situasi menang-menang bagi kedua-dua negara.

Katanya, zon tersebut akan memudahkan aktiviti perniagaan dan perdagangan terutamanya berkaitan pergerakan bakat, penawaran perkhidmatan dan pergerakan rantaian bekalan produk.

“Ini dibantu oleh pelaksanaan aplikasi dan alat teknologi seperti sistem pelepasan kod QR dan pendigitalan pelepasan kargo dan kemungkinan besar menggunakan teknologi blockchain terkini.

“Sudah tentu akan sentiasa ada cabaran dan isu apabila memulakan projek bercita-cita tinggi ini seperti keselamatan siber dan kadar penggunaan digitalisasi, tetapi apabila semua pihak menyedari manfaat keseluruhannya, semua cabaran ini akan ditangani dengan lebih pantas dan dikendalikan dengan berkesan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) tentang JS-SEZ.

MoU itu ditandatangani oleh Menteri Ekonomi, Mohd. Rafizi Ramli dan Menteri Perdagangan dan Perindustrian Singapura (MTI), Gan Kim Yong.

MoU itu dimeterai selepas dua bulan Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia ke-10 pada Oktober tahun lalu yang bertujuan mengeratkan lagi hubungan yang telah lama terjalin dan komitmen bersama kedua-dua negara untuk memperkukuhkan kerjasama ekonomi.

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, kerjasama itu memberi permulaan yang baik kepada usaha kerajaan bagi meningkatkan dan merangsangkan pertumbuhan ekonomi negara pada 2024.

Menurutnya, ini seterusnya dapat meningkat hasil bukan sahaja dalam jangka masa pendek tetapi juga untuk jangka masa panjang.

“Ini juga merupakan langkah proaktif oleh kerajaan bagi menangani isu ekonomi global yang tidak menentu dengan mewujudkan satu zon khas yang akan memudah cara ekosistem perniagaan antara kedua-dua belah negara.

“Sudah pasti kesan limpahan ekonomi zon bebas ini akan dapat dimanfaatkan oleh Johor khususnya dan negeri-negeri yang berhampiran. Selain itu, sektor elektronik, perkhidmatan kewangan, perniagaan dan kesihatan dijangka akan mengalami pertumbuhan yang positif dengan kewujudan zon khas ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×