PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah meraih pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM2.8 bilion daripada dua syarikat dalam misi pelaburan seharinya di Singapura.
Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, syarikat pertama adalah Equinix Inc iaitu organisasi yang mempercepatkan kelebihan daya saing merentas pemboleh digital termasuk awan, rangkaian, storan, pengkomputeran dan perisian.
Katanya, syarikat infrastruktur digital global itu mempunyai 52 pusat data merentasi 13 bandar di rantau Asia Pasifik, termasuk Australia, China, Hong Kong, India, Jepun, Korea Selatan dan Singapura.
“Equinix merancang untuk membuka pusat data di Johor dan Kuala Lumpur untuk menyediakan platform saling berkaitan yang menawarkan akses kepada rangkaian antarabangsa dan rangkaian yang menghubungkan Asia Pasifik,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Sementara itu, Tengku Zafrul juga bertemu dengan wakil sebuah syarikat pengeluar makanan global yang mempunyai kehadiran di Malaysia.
Menurutnya, syarikat itu merancang untuk mengembangkan dan mempelbagaikan portfolio produknya dan akan menubuhkan fasiliti dengan barisan pembuatan termaju, dikuasakan oleh pemboleh Industri 4.0 seperti internet kebendaan (IoT) dan robotik untuk pengeluaran ramuan makanan bersepadunya.
“Syarikat-syarikat ini telah memilih Malaysia sama ada untuk menubuhkan atau mengembangkan perniagaan mereka. Komitmen FDI RM2.8 bilion menunjukkan usaha Malaysia dalam memudahkan perjalanan pelabur dan merealisasikan pelaburan mereka.
“MITI bersama agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), akan menjadi lebih strategik dalam menarik pelaburan yang betul susulan peningkatan aliran masuk ke Asean.
“Pelaburan ini bukan sahaja perlu untuk pertumbuhan ekonomi kita tetapi juga mesti membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mewujudkan pekerjaan untuk rakyat kita,” ujarnya.
Tambahnya, Singapura melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan berdaya maju disebabkan pelbagai faktor, termasuk kedaulatan undang-undangnya, lokasi serantau yang strategik, tenaga kerja terlatih dan kedudukan penting dalam banyak rantaian bekalan serantau dan global.
Untuk rekod, antara Januari dan September 2023, RM20.4 bilion dalam projek pelaburan dari Singapura telah diluluskan, menjadikannya sumber FDI kedua terbesar.-UTUSAN










