PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dijangka mampu mengatasi jangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan berkembang sehingga 4.8 hingga 5.0 peratus pada tahun ini, menurut kumpulan pemikir, Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik.
Penasihat Ekonomi KSI, Dr. Anthony Dass berkata, pertumbuhan tersebut akan dipacu terutamanya oleh peningkatan pendapatan sebenar.
Katanya, inflasi dijangka menurun kepada 2.6 peratus pada 2024 akan menambah baik pendapatan isi rumah.
“Rasionalisasi subsidi bahan api dan pelarasan harga bahan api akan dilakukan secara beransur-ansur untuk mengurangkan kesan terhadap inflasi.
“Pasaran buruh akan kekal berdaya tahan daripada sentimen perniagaan yang menggalakkan. Kadar pengangguran sepatutnya sekitar 3.3 peratus. Pertumbuhan gaji benar adalah sekitar 2.5 hingga 3.5 peratus,” katanya dalam laporan serantau di sini semalam.
Beliau berkata, populariti ekonomi gig semakin meningkat disebabkan oleh pendigitalan dan ketersambungan yang semakin meningkat di Malaysia.
“Penggunaan telefon pintar secara meluas dan ketersediaan internet berkelajuan tinggi memudahkan individu mengakses platform gig dan perniagaan untuk memanfaatkan pekerja gig.
“Kira-kira 40 peratus daripada tenaga kerja dan 25 peratus daripada tenaga buruh berada dalam sektor ini,” ujarnya.
Anthony berkata, bank-bank Malaysia mempunyai satu daripada bahagian tertinggi pendedahan kredit kepada sektor hartanah di Asia Pasifik, dengan sektor gadai janji, hartanah dan pembinaan menyumbang lebih separuh daripada jumlah pinjaman.
Bagaimanapun beliau berkata, institusi kewangan mengendalikan risiko kadar faedah dengan baik.
“Keadaan kecairan telah berkurangan. Bank tidak mungkin menghadapi kesukaran untuk mengakses pendanaan deposit dan borong. Kadar faedah yang stabil dan ekonomi yang sihat akan memastikan pasaran hartanah sentiasa menggalakkan.
“Keadaan pembiayaan yang kukuh akan terus menyokong KDNK. Pertumbuhan pinjaman akan menjadi sekitar lima peratus pada 2024.
“Pertumbuhan KDNK diunjurkan pada 4.4 peratus pada 2023 dan 4.8 peratus pada 2024,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengunjurkan Bank Negara Malaysia akan mengekalkan Kadar Dasar Semalam (OPR) pada 3.0 peratus untuk 2024 dan 2025.
Katanya, kadar faedah dijangka kekal stabil pada 2024 dan terus di atas kadar inflasi.
“OPR akan berada pada 3.0 peratus. Dan tidak mungkin terdapat sebarang petunjuk ke arah menurunkan kadar faedah pada 2024 kerana ringgit sepatutnya mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan memberikan sedikit kusyen pada kos import.
“Ini bermakna penyimpan akan diberi ganjaran atas kebijaksanaan mereka. Mereka memperoleh pulangan sebenar yang positif. Peminjam perlu berhati-hati dalam kos modal mereka,” katanya. – UTUSAN










