PETALING JAYA: OCBC Bank (Malaysia) Berhad menyokong pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) oleh Malaysia dan Singapura bagi pertumbuhan ekonomi di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Tan Chor Sen dalam kenyataan berkata, pihaknya akan membangunkan skim yang berpandangan ke hadapan dan mudah untuk menyokong korporat dan PKS yang berpangkalan di Singapura untuk memenuhi keperluan perbankan mereka di Johor.
“Antaranya adalah proses pembukaan akaun perniagaan yang lebih lancar melibatkan proses saringan kenali pelanggan (KYC) yang dipermudahkan dan pegawai cawangan yang dilantik di semua cawangan OCBC di Johor Bahru.
“Langkah ini membolehkan pengalaman rentas sempadan yang lebih lancar dan sejajar dengan strategi pengantarabangsaan Kumpulan OCBC yang berpusat pada rantau ASEAN-Greater China,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau lagi, kepakaran Malaysia dalam sektor-sektor seperti tenaga mampan, perdagangan elektrik, elektronik, penjagaan kesihatan, kewangan industri dan perkhidmatan berkaitan perniagaan boleh memudahkan proses pembukaan akaun yang lebih lancar akan disambut baik oleh komuniti perniagaan Singapura.
“Pelanggan OCBC di Malaysia dan Singapura boleh menantikan lebih banyak inisiatif ke hadapan untuk menyokong pertumbuhan PKS merentas sempadan,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menyaksikan MoU JS-SEZ itu di Johor, hari ini.
MoU ditandatangani oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Perdagangan dan Perindustrian Singapura (MTI), Gan Kim Yong.
Dalam kerjasama JS-SEZ, Malaysia dan Singapura akan meneroka kerja berkaitan beberapa inisiatif yang akan membina ke arah JS-SEZ termasuk pusat perkhidmatan perniagaan atau pelaburan sehenti di Johor untuk memudahkan proses permohonan untuk pelbagai kelulusan dan lesen yang diperlukan untuk perniagaan Singapura ditubuhkan di Johor. – UTUSAN










