SSM, YIM meterai MoU perkasa pendaftaran perniagaan

SSM, YIM meterai MoU perkasa pendaftaran perniagaan

MAJLIS pertukaran dokumen antara SSM dan YIM di Kuala Lumpur. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi bekerjasama dalam memperkasakan pendaftaran perniagaan dalam kalangan inovator.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata, golongan inovator di dalam ekosistem YIM digalakkan mendaftar perniagaan di bawah Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) atau Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P) bagi mereka yang memenuhi syarat.

Jelasnya, MoU itu juga sebagai inisiatif bersama bagi membudaya, membangun dan mempromosikan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) dalam kalangan peniaga dan rakyat Malaysia.

Menurut Nor Azimah, SPPP yang diperkenalkan turut memberi peluang kepada usahawan kumpulan B40 serta pelajar sepenuh masa di Institut Pengajian Tinggi Awam/Swasta (IPTA/IPTS) mendaftarkan perniagaan dengan SSM secara percuma.

“Jumlah pendaftaran melalui SPPP adalah sebanyak 94,555, terdiri 48,673 pelajar IPT sepenuh masa dan 45,882 usahawan kumpulan B40 sejak Oktober 2020 hingga Disember 2023,” katanya pada media selepas Majlis Menandatangani MoU antara SSM dan YIM, hari ini.

Tambahnya, sejak 2012 sebanyak 17,542 perniagaan telah didaftarkan melalui S1O1P yang merupakan inisiatif bagi golongan orang kurang upaya (OKU).

Dalam pada itu, beliau berkata, SSM menyasarkan seramai 5,000 usahawan sehingga 2030 bagi berdaftar di bawah SPPP dan S101P.

Sementara itu,  Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Sharmila Mohamed Salleh berkata, pemeteraian MoU selari dengan komitmen YIM, membangun dan menggalakkan kemahiran kreatif dalam bidang sains, teknologi dan inovasi merangkumi kluster akademik, industri dan masyarakat.

“Ia juga selaras dengan Azam YIM 2024 sasarkan 20,000 orang di dalam dan luar negara berkenaan inovasi dan memberikan bantuan serta pendedahan berimpak positif kepada 8,000 innovator tempatan, ” katanya.

Tambah Sharmila, YIM dan SSM bekerjasama dalam mempromosikan inovasi, keusahawanan, dan pembangunan ekonomi melalui skim berkaitan pendaftaran perniagaan serta sokongan untuk inovator yang berkelayakan.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×