Jualan sektor pembuatan susut 2.6 peratus kepada RM155 bilion

Jualan sektor pembuatan susut 2.6 peratus kepada RM155 bilion

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai jualan sektor pembuatan susut 2.6 peratus tahun ke tahun kepada RM155.0 bilion pada November 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penurunan disebabkan terutamanya oleh kejatuhan ketara dalam subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik sebanyak 10.8 peratus dan subsektor peralatan elektrik dan elektronik yang susut 5.3 peratus.

Beliau berkata, berbanding bulan sebelumnya, nilai jualan menurun sebanyak 1.1 peratus berbanding RM156.7 bilion yang direkodkan pada Oktober 2023 (-0.7 peratus).

Katanya, nilai jualan industri berorientasikan eksport yang merangkumi lebih dua pertiga daripada jumlah jualan, mencatatkan penurunan yang lebih besar iaitu sebanyak 6.9 peratus pada November 2023 berbanding negatif 5.2 peratus yang direkodkan pada Oktober 2023.

“Penurunan tersebut dipengaruhi terutamanya oleh penyusutan dalam pembuatan kok dan produk petroleum bertapis pada negatif 10.0 peratus, diikuti pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (-6.6 peratus); dan pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (-3.8 peratus).

“Namun begitu, industri berorientasikan domestik terus mengekalkan momentum positif dengan merekodkan 8.8 peratus pada November 2023 (Oktober 2023: 9.7 peratus).

“Pengembangan itu didorong terutamanya oleh pertumbuhan kukuh dalam pembuatan produk makanan sebanyak 11.4 peratus; pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler (11.3 peratus); dan pembuatan produk logam, kecuali mesin dan kelengkapan (11.3 peratus).

“Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport menyusut 3.6 peratus manakala industri berorientasikan domestik berkembang sebanyak 5.3 peratus,” katanya dalam laporan Perangkaan Pembuatan Bulanan Malaysia, November 2023.

Mengulas bilangan pekerja, Ketua Perangkawan menambah, sektor  pembuatan melibatkan seramai 2.38 juta orang pada November 2023, meningkat 2.1 peratus berbanding 2.33 juta orang yang dicatatkan pada November 2022.

Kenaikan tersebut didorong terutamanya oleh peningkatan bilangan pekerja dalam subsektor makanan, minuman dan tembakau (6.9 peratus); produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (2.3 peratus); dan produk elektrik dan elektronik (0.7 peratus).

“Perbandingan bulan ke bulan, bilangan pekerja dalam sektor Pembuatan menurun sedikit 0.04 peratus. Selari dengan pertambahan bilangan pekerja, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan meningkat sebanyak 3.3 peratus tahun ke tahun berjumlah RM8.1 bilion pada November 2023,” jelas beliau.

Merumuskan prestasi bagi 11 bulan pertama 2023, Mohd. Uzir berkata, nilai jualan sektor pembuatan mencecah RM1.65 trilion, tumbuh marginal 0.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya (Januari – November 2022: 16.6 peratus).

“Pada tempoh tersebut, bilangan pekerja bertambah 2.1 peratus dengan merekodkan seramai 2.38 juta orang manakala gaji dan upah menokok sebanyak 3.6 peratus, berjumlah RM89.0 bilion. Sementara itu, nilai jualan per pekerja menurun sebanyak 1.8 peratus, berjumlah RM701,986,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×