PONTIAN: Penyakit radang kulit yang dialami menyebabkan mata kirinya mula kabur dan kini buta sejak 2021.
Keadaan tersebut menyebabkan Nur Aisyah Hadin, 33, yang pernah menjadi guru tuisyen lapan tahun bagi membantu meringankan beban keluarga kini tidak lagi mampu berbuat demikian.
Lebih menyedihkan, penglihatan mata kanannya juga kabur dan dia memerlukan rawatan secara berkala doktor pakar mata di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, manakala akibat penyakit radang, kulitnya tidak boleh terdedah dengan cahaya matahari.
Kini keluarga hanya bergantung dengan pendapatan suaminya, Mohd. Adnan Mohd. Ismail, 33, yang bekerja sebagai pemandu lori membawa telur dengan pendapatan sebanyak RM1,200 sebulan.
“Niat memang nak membantu suami tetapi kesihatan saya tidak mengizinkan selain mempunyai dua orang anak yang masih kecil dan perlu perhatian,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Nong Chik, Pontian.
BERSTATUS
Nur Aisyah yang mempunyai dua anak lelaki dan dua perempuan berusia antara empat hingga 13 tahun dengan salah seorangnya berstatus orang kurang upaya (OKU) lembab pembelajaran.
“Anak OKU yang berusia 11 tahun dan abangnya berusia 13 tahun dijaga oleh ibu di Kayu Ara Pasong bagi memudahkan bersekolah di kelas pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Kayu Ara Pasong,” katanya.
Memandangkan suaminya hanya bercuti pada Isnin, dia akan memastikan dapat menerima pemeriksaan mata dan kulitnya di HSA pada hari yang sama bagi menjimatkan perbelanjaan dan masa.
Dia pernah mendapat bantuan one-off daripada Baitulmal Pontian sebanyak RM300 dan RM200 bagi menghadiri pemeriksaan di HSA kerana tiada sumber kewangan lagi untuk ke sana yang memerlukan perbelanjaan kira-kira RM100, termasuk duit minyak kereta dan makan.
“Disebabkan masalah mata, saya juga telah menerima kad OKU secara digital dan berharap akan mendapat kad secara fizikal bagi membolehkannya mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Dengan pendapatan yang ada, kami makan apa yang ada kerana banyak lagi keperluan yang perlu didahulukan, mujur tinggal di rumah bapa mentua,” katanya.
Mereka yang bersimpati boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Rakyat bernombor 2205687010 atau menghubungi Nur Aisyah menerusi talian 016-826 0494. – UTUSAN











