Datasonic dapat kontrak baharu KDN

Datasonic dapat kontrak baharu, lanjutan 4 kontrak KDN berjumlah RM175 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datasonic Group Bhd. memaklumkan telah me­nerima surat anugerah (LOA) dan lanjutan empat kontrak daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan jumlah RM175 juta.

Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi bersepadu itu berkata, KDN telah menganugerahkan unit milik penuhnya Datasonic Technologies Sdn. Bhd. (DTSB), kontrak untuk membekalkan kad mentah (raw cards) MyKad, MyTentera, MyPOCA kepada Jabatan Pendaftaran Negara Jabatan (JPN).

Kontrak enam bulan bernilai RM28.69 juta itu bermula dari 1 Disember 2023 hingga 31 Mei 2024.

Sementara itu, KDN telah menganugerahkan surat lanjutan kontrak selama enam bulan kepada DTSB untuk empat kontrak, bermula dari 1 Disember 2023 hingga 31 Mei 2024.

Lanjutan kontrak adalah untuk perkhidmatan penyelenggaraan menyeluruh pusat pemperibadian kad di JPN sebanyak RM11.35 juta, pembekalan cip pasport Malaysia kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebanyak RM60.2 juta, pembekalan dokumen pasport Malaysia kepada JIM untuk RM25.33 juta, dan pembekalan muka surat biodata polikarbonat kepada JIM sebanyak RM49.43 juta.

Pengerusi Eksekutif Dataso­nic, Datuk Seri Tengku Abu Bakar Ahmad Tengku Abdullah berkata, Kumpulan berbesar hati untuk meneruskan peranannya sebagai penyedia tunggal penyelesaian pasport kepada JIM sejak 2016.

“Kejayaan ini mencerminkan rekod prestasi dan penyampaian kami yang terbukti. Datasonic telah dapat menampung lonjakan permintaan yang kukuh untuk pasport sejak pembukaan semula sempadan serta untuk MyKad sambil menavigasi isu seperti gangguan rantaian bekalan dan kos input yang tinggi,” katanya dalam kenya­taan.

Beliau berkata penghantaran pasport Datasonic mencecah rekod tinggi baharu pada tahun kewa­ngan 2023 (TK2023), justeru Kumpulan menjangkakan permintaan kekal kukuh pada masa hadapan.

Katanya, Kumpulan akan terus berusaha untuk menyediakan penghantaran yang luar biasa dan tepat pada masanya sambil memainkan peranan dalam ke­selamatan negara di samping memanfaatkan kepakaran dan pengalamannya.

“Kami berterima kasih atas kepercayaan berterusan yang diberikan oleh kerajaan kepada kami dan ini menunjukkan keyakinan pelanggan terhadap kami,” tambahnya.

Dalam pemfailan berasingan, Datasonic berkata, dagangan sekuritinya dihentikan selama satu jam dari 9 pagi hingga 10 pagi semalam, selepas pengumuman kontrak.

Selepas didagangkan semula, saham Datasonic naik satu sen atau 2.25 peratus lebih tinggi pada 45.5 sen pada 10.10 pagi, menilai Kumpulan itu pada RM1.32 bilion.

Datasonic mencatatkan keuntungan bersih RM18.15 juta pada suku kedua berakhir 30 September 2023 (2QTK2024), turun 27.13 peratus daripada RM24.91 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Pendapatannya melonjak lebih 20 kali ganda di tengah-tengah lonjakan permohonan pasport dan MyKad termasuk permohonan kali pertama dan pembaharuan berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April 2022.

Bagi enam bulan berakhir 30 September 2023 (6BTK2024), keuntungan bersih Datasonic meningkat sedikit kepada RM37.19 juta daripada RM36.94 juta pada 6BTK2023, apabila hasil meningkat 9.1 peratus kepada RM172.07 juta daripada RM157.71 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×