KUALA LUMPUR: Ringgit diunjur menjadi mata wang berprestasi terbaik di rantau ini pada 2024, menurut penganalisis.
MIDF Amanah Investment Bhd. (MIDF Research) menjangkakan ringgit meningkat kepada RM4.20 berbanding dolar AS menjelang akhir 2024, mendapat manfaat daripada pembalikan aliran dana kembali ke pasaran baharu muncul.
Firma penyelidikan itu berkata, pembalikan aliran dana akan didorong oleh jangkaan perbezaan kadar faedah yang mengecil kerana Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka mula mengurangkan kadar faedah, dengan Bank Negara Malaysia (BNM) pula dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3 peratus.
“Ringgit dan mata wang serantau lain akan mendapat manfaat daripada pembalikan aliran dana,” katanya dalam satu nota.
MIDF menambah, apabila ekonomi China pulih, ringgit juga akan disokong oleh prestasi perdagangan serantau yang lebih memberangsangkan.
Sementara itu, Affin Hwang Investment Bank Bhd. mengunjurkan ringgit berada pada RM4.40 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun.
Dalam laporan Macro and Market Outlook 2024, firma penyelidikan itu berkata, ia berkutan pengurangan tekanan dari faktor luaran, terutamanya daripada kesan pengetatan dasar monetari.
Firma penyelidikan itu juga mengunjurkan ekonomi negara berkembang sebanyak 4.5 peratus pada tahun ini, dipacu oleh jangkaan pemulihan eksport disebabkan permintaan tinggi dalam produk elektrik dan elektronik (E&E). Ini sejajar dengan prospek jualan semikonduktor yang dijangka lebih baik.
Permintaan domestik yang membantu mengimbangi penurunan pertumbuhan eksport pada 2023 akan terus mendorong pertumbuhan ekonomi negara pada 2024 daripada perbelanjaan isi rumah yang kukuh dan pemulihan aktiviti berkaitan pelancongan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nurjesmi Mohd. Nashir berkata, momentum 2024 dijangka dimulakan lebih perlahan berikutan dasar monetari global yang ketat seperti yang dilihat beberapa tahun sebelumnya.
Namun begitu, beliau berkata, apabila menghampiri pertengahan tahun, ekonomi global utama mungkin menunjukkan tanda-tanda pengembangan dan pemulihan ekonomi yang lebih kukuh.
“Memandangkan kami menjangkakan ekonomi maju (AS) akan mula memotong kadar faedah pada separuh kedua tahun ini, ditambah pula dengan pelaburan langsung asing (FDI) yang tinggi ke Malaysia, kami menjangkakan ringgit yang lebih kukuh pada separuh kedua.
“Kami percaya, ini akan menjadi pemangkin utama untuk meningkatkan sentimen dalam pasaran ekuiti Malaysia dan juga menyokong potensi pemulihan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada akhir tahun ini,” katanya pada taklimat media laporan Macro and Market Outlook 2024 di Menara Affin di sini, semalam.
Ketua Ekonomi Affin Group, Alan Tan Chew Leong pula berkata, pihaknya menjangkakan harga minyak mentah Brent global akan meningkat daripada purata AS$82 setong pada 2023 kepada AS$88 setong tahun ini.
Katanya, ia didorong oleh permintaan dari China dan India serta premium risiko daripada ketegangan geopolitik global ketika ini. – UTUSAN











