KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan aliran menaik dalam dagangan semalam apabila suatu ketika melepasi 1,500 mata paras tertingginya dalam tempoh hampir setahun.
Aliran positif itu adalah sesi kelima berturut-turut Bursa, disokong oleh aktiviti belian terutama melibatkan saham perbankan, telekomunikasi dan pengguna. Indeks barometer Bursa meningkat sebanyak 45.73 mata dalam tempoh lima hari.
Pada pukul 5 petang, FBM KLCI naik 0.21 peratus, atau 3.13 mata untuk ditutup pada 1,498.83 daripada 1,495.7 mata kelmarin.
Indeks penanda aras dibuka 1.47 mata lebih kukuh pada 1,497.17 dan bergerak dalam julat antara 1,496.84 hingga 1,503.93 sepanjang sesi dagangan semalam.
Kaunter rugi bagaimanapun mengatasi kaunter untung sebanyak 605 berbanding 410, manakala 475 kaunter tidak berubah, 729 kaunter tidak diniagakan dan 19 lain digantung.
Jumlah dagangan merosot kepada 6.44 bilion unit bernilai RM3.77 bilion daripada 6.96 bilion unit bernilai RM4.21 bilion kelmarin.
Affin Hwang Investment Bank Bhd. menjangkakan FBM KLCI berada pada paras 1,600 mata menjelang akhir tahun ini, dipacu oleh unjuran ringgit yang lebih dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK) yang lebih kukuh.
Ketua Penyelidikan Affin Hwang Investment Bank, Loong Chee Wei berkata, FBM KLCI disasarkan didagangkan sekitar 15.6 kali ke hadapan nisbah pendapatan harga (PER) berbanding purata lima tahun sebanyak -0.5 kali.
Pihaknya beranggapan tahun ini menjadi ‘pendaratan lembut’ kepada Amerika Syarikat (AS) dan ia akan menyediakan pemangkin untuk pasaran melantun semula pada separuh kedua 2024.
“Kami telah menaik taraf panarafan pasaran kepada ‘overweight’ dengan unjuran indeks FBM KLCI sebanyak 1,600, peningkatan kira-kira 11 peratus berbanding penutupan tahun lepas.
“Dari segi kedudukan sektor, kami telah menaik taraf sektor utama iaitu perladangan, perbankan dan hartanah kepada overweight daripada neutral tahun lepas. Turut menerima penarafan ‘overweight’ adalah utiliti, pembinaan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS).
“Kami telah menurunkan taraf bahan binaan kepada ‘underweight’ terutamanya kerana kami membuat panggilan ‘jual’ kepada Press Metal sebelum ini,” katanya pada taklimat media laporan Macro and Market Outlook 2024 di Menara Affin di sini, semalam.
Tambah Chee Wei, syarikat yang menjadi pilihan utama mereka adalah CIMB Bank, Kelington Group Bhd., Hong Leong Bank (menggantikan Public Bank) dan juga Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Sementara itu, beliau menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalam (OPR) pada 3.00 peratus bagi keseluruhan tahun ini.
Dalam pada itu, pihaknya turut mengunjurkan purata harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat sekitar RM4,200 hingga RM4,400 tahun ini daripada RM3,800 pada 2023.
“Ini akan memberikan pertumbuhan pendapatan kepada sektor tersebut. Secara global, industri dijangka menurun kerana fenomena El Nino.
“Bagaimanapun, Malaysia berada dalam kedudukan yang lebih baik dari segi cuaca dan kami menjangkakan pengeluaran CPO agak mendatar bagi Malaysia dan menurun untuk Indonesia,” ujarnya. – UTUSAN










