AEON Bank terima kelulusan operasi bank digital patuh syariah

AEON Bank terima kelulusan operasi bank digital patuh syariah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AEON Bank (M) Berhad (dahulunya dikenali sebagai ACS Digital Berhad) (AEON Bank) mengumumkan menerima kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan untuk memulakan operasi perbankan digital di Malaysia.

Ia menjadikan AEON Bank sebagai bank digital patuh syariah pertama di Malaysia.

Menurut AEON Bank, kelulusan diberikan berdasarkan pengesahan BNM terhadap kesediaan operasi Bank.

“AEON Bank merupakan syarikat bersekutu AEON Credit Service (M) Berhad (AEON Credit) dan anak syarikat AEON Financial Service Co., Ltd. (AFS Jepun),” katanya dalam kenyataan.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, misi utama AEON Bank membina bank digital adalah untuk memajukan promosi inklusi kewangan dan perbankan Islam.

Beliau berkata, sebagai antara jenama runcit isi rumah yang terkenal di Malaysia, AEON Bank berhasrat untuk menyediakan penyelesaian perbankan digital yang mudah diakses, inklusif dan patuh syariah terutamanya kepada pelanggan setia serta seluruh rakyat Malaysia.

“Kami bertekad untuk memperkasa komuniti kami dengan akses kepada perkhidmatan kewangan digital yang mudah, selamat dan terjamin,” katanya.

Raja Teh Maimunah berkata, AEON Bank merancang pelancaran berfasa untuk aplikasi baharunya, bermula dengan fasa ujian beta eksklusif bersama kumpulan pekerja AEON.

“Kami sedar akan kepentingan mengumpul pandangan dan maklum balas dari pengguna dalam mempersiapkan pelancaran aplikasi kami. Penawaran akses awal kepada sekumpulan pengguna beta terpilih bertujuan untuk memperhalus aplikasi AEON Bank dengan kerjasama pengguna beta agar dapat memenuhi harapan pengguna kami yang lebih luas pada pelancaran penuh,” jelas beliau.

Sementara itu, Pengarah Urusan AEON Credit, Daisuke Maeda berkata, detik bersejarah itu merupakan langkah yang besar dalam memberi nafas baharu kepada perkhidmatan kewangan yang disediakan oleh Kumpulan AEON serta mengukuhkan lagi komitmennya dalam menyokong inklusiviti kewangan.

“Sempena sambutan ke-40 tahun Kumpulan AEON Malaysia, kami melihat AEON Bank sebagai medium yang dapat memberikan peluang yang lebih banyak kepada pelanggan setia dan rakan perniagaan kami yang telah menjadi tunjak kejayaan kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×