AHB, Kok Seng Ping meterai MOA jual-beli saham KSP Vista

AHB, Kok Seng Ping meterai MOA jual-beli saham dalam KSP Vista

MODEL motosikal elektrik yang dipasarkan oleh KSP Vista. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AHB Holdings Berhad (AHB) sedang mempercepat langkah ke dalam industri kenderaan elektrik (EV) selepas mengumumkan pemeteraian perjanjian (MOA) cadangan pengambilalihan 100 peratus saham dalam KSP Vista Sdn. Bhd. dengan Kok Seng Ping.

KSP Vista terlibat terutamanya dalam import dan pasaran motosikal elektrik (E-Motor) untuk membeli, menjual, menyewa dan mengendalikan hartanah milik sendiri atau dipajak.

Jumlah modal saham terbitan KSP Vista ialah RM1,00,000 terdiri daripada 1,000,000 saham biasa. Kok Seng Ping ialah pemegang saham tunggal KSP Vista.

“Pertimbangan pembelian sama ada dengan tunai atau saham biasa AHB atau gabungan kedua-duanya, tertakluk kepada perbincangan lanjut antara pihak (terlibat),” jelas Syarikat itu dalam satu kenyataan.

Jelasnya, MOA membenarkan pihak-pihak terlibat untuk merundingkan terma berkenaan dengan cadangan pengambilalihan untuk tempoh sekurang-kurangnya 90 hari.

Tambahnya, cadangan pengambilalihan dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan masa hadapan Syarikat.

“Pelaksanaan MOA dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas modal saham, aset bersih dan penggearan, pegangan saham pemegang saham yang besar serta pendapatan AHB bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024.

“Cadangan Pengambilalihan dijangka mempunyai kesan positif ke atas pendapatan masa hadapan AHB,” jelasnya lagi.

Tambahnya, tiada Pengarah dan/atau pemegang saham utama AHB dan/atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam MOA berkenaan.

Pelaksanaan MOA tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham AHB dan/atau mana-mana pihak berkuasa kawal selia, tambahnya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, KSP Vista memaklumkan, pihaknya telah menerima surat niat bertarikh 15 Disember 2023 daripada Pelaburan Mara Bhd. untuk memesan 100,000 unit E-Motor.

Menurutnya, dalam surat itu, Pelaburan Mara memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima cadangan daripada KSP Vista untuk menjual 100,000 unit E-Motor, dan bersetuju untuk membeli kenderaan berkenaan selepas kajian pasaran dilaksanakan.

Sejak Julai 2023, AHB telah merancang dengan aktif untuk terlibat industri EV selepas percubaan mengambilalih 51 peratus saham dalam syarikat EV tempatan, CAF Motors Sdn. Bhd., pada harga RM10 juta.

Selain itu, ia juga telah melaksanakan penstrukturan semula korporat, termasuk pelantikan kerabat diraja Johor, Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, sebagai Pengerusi Kumpulan.

Kini, melalui penggabungan dan pemilikan KSP Vista, perniagaan AHB akan merentasi ke industri E-Motor dan pesanan tersebut pastinya akan menyumbang kepada perolehan dan keuntungan Kumpulan.

AHB ialah syarikat pelaburan yang beribu pejabat di Malaysia dengan perniagaan utama adalah produk `interior’ pejabat, perabot pejabat dan pembiayaan komputer khusus. Antara produk mereka termasuk sistem seperti MX-DWS sistem B21, sistem T1, sistem b3, EX21, EX22, EX30, dan VTor.

Syarikat turut beroperasi di Asia Tenggara, Asia Barat, Asia Tengah dan Selatan, Eropah serta Amerika Syarikat.

Anak-anak syarikat termasuk AHB Technology Sdn. Bhd., AHB Marketing Sdn. Bhd., Create Space Sdn. Bhd., dan AHB Distribution Sdn Bhd. AHB Technology terlibat dalam perdagangan perabot pejabat dan perabot komputer khusus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×