PETALING JAYA: Indeks penanda aras Bursa Malaysia, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka mencapai 1,500 mata minggu ini, didorong oleh peningkatan masuk pelabur asing, kata penganalisis.
Ia terutamanya selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengumumkan tidak akan menaikkan kadar faedah pada minggu lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, aliran dana asing akan terus masuk ke Bursa Malaysia kerana kebanyakan saham syarikat di sini adalah under value.
Katanya, penurunan FBM KLCI sebelum ini bukan kerana syarikat di negara ini tidak bagus tetapi disebabkan pengurus dana asing mahupun tempatan beralih kea AS yang lebih mahal kerana peningkatan kadar faedah oleh Fed.
“Peningkatan pelabur asing ini akan meningkatkan penanda aras indeks FBM KLCI. Saya jangkakan indeks akan berada sekitar 1,480 hingga 1,500 pada minggu ini dan mungkin kembali melebihi 1,500 tahun ini.
“Fed memberitahu mereka tidak akan menaikkan kadar faedah serta kekal dan mungkin akan menurunkan pada suku ketiga dan keempat tahun ini. Jadi, pengurus dana telah bertindak mengalihkan modal masing-masing keluar dari AS, mencari ekuiti-ekuiti yang mempunyai nilai yang bagus seperti di Malaysia.
“Walau bagaimanapun, kenaikan ini (Bursa Malaysia) bergantung kepada situasi semasa terutamanya di pasaran modal di AS sendiri. Sekiranya ada berlaku sesuatu yang besar, ini akan menjejaskan bursa saham itu sendiri,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, beliau berkata, peningkatan aliran masuk dana ke Bursa Malaysia sekali gus akan mendorong kepada pengukuhan ringgit berbanding dolar AS.
“Apabila Bursa Malaysia menerima banyak aliran modal daripada pelabur asing, ini turut memberi kesan positif kepada ringgit. Ini kerana, mereka juga harus membeli ringgit dan menjual mata wang asing yang mereka bawa sama ada euro, dolar Singapura atau AS.
“Saya jangkakan, ringgit akan positif minggu ini berbanding dolar AS,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menjangkakan indeks penanda aras FBM KLCI akan berada sekitar 1,485 hingga 1,490 minggu ini.
“Pelabur asing akan terus masuk melabur selagi sentimen keyakinan atas prospek keuntungan syarikat-syarikat tersenarai di Malaysia adalah kukuh.
“Kemungkinan aliran masuk ini disebabkan persediaan pelabur untuk menerima laporan prestasi kewangan syarikat yang akan diumumkan dalam beberapa bulan akan mendatang,” ujarnya.
FBM KLCI dibuka lebih tinggi pada 1,488.60 pada Isnin, naik 0.99 mata berbanding 1,487.61 ketika ditutup Jumaat lalu.
MIDF Research dalam Laporan Aliran Dana minggu berakhir 5 Januari 2024 melaporkan, pelabur asing terus menjadi pembeli bersih ekuiti domestik di Bursa Malaysia berjumlah RM524.9 juta pada minggu lalu.
Firma penyelidikan itu berkata, ini adalah minggu keempat berturut-turut pelabur asing menjadi pembeli bersih dan minggu lalu menyaksikan aliran masuk pelaburan asing bersih untuk setiap hari dagangan kecuali Selasa. – UTUSAN










